Sebagai seorang menteri, beliau patut sedar hal imigresen berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, kata Elizabeth Wong.
PETALING JAYA: Exco negeri Selangor Elizabeth Wong mengecam kenyataan palsu dan berunsur fitnah oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Shabery Cheek di Parlimen semalam bahawa Kerajaan Negeri Selangor terlibat dalam kemasukan seorang warganegara Israel ke Malaysia untuk perfileman siri televisyen realiti antarabangsa, “The Challenger Muay Thai.”
“Shabery tidak patut menunding jari pada pihak lain. Sebagai seorang menteri, beliau patut sedar hal imigresen berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” kata Wong yang juga pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Alam Sekitar Negeri dalam satu kenyataan media.
Beliau menjelaskan bahawa sememangnya Selangor telah berjaya menarik siri televisyen bercorak realiti tersebut untuk difilemkan di negeri ini.
“Penerbit siri tersebut merupakan pihak yang mengeluarkan program-program televisyen lain yang telah memenangi anugerah seperti ”The Contender”, “The Biggest Loser Asia” dan “The Apartment.”
Bagaimanapun, Selangor langsung tidak terlibat dalam penganjuran persaingan tersebut, pemilihan ahli sukan ataupun penerbitan siri televisyen tersebut.
Tegas Wong, “kami tidak menjemput mana-mana ahli sukan ataupun menandatangani sebarang dokumen sokongan untuk membolehkan warganegara Israel memasuki Malaysia.
“Jika kami dimaklumkan, Kerajaan Negeri Selangor pasti memohon kepada Kementerian Belia dan Sukan dan Jabatan Imigresen supaya menolak kemasukan warganegara Israel tersebut,” katanya.
Ujar beliau, “pendirian Pakatan Rakyat adalah jelas. Demi semangat setiakawan dengan rakyat Palestin, Malaysia tidak patut mewujudkan sebarang hubungan diplomatik, perdagangan, budaya ataupun sukan dengan rejim Zionis-Israel.
“Hubungan dengan Israel hanya boleh dipertimbangkan kalau dan apabila ia mengiktiraf hak-hak rakyat Palestin dan menghentikan tindakan ganas terhadap negara-negara jiran.
Beliau menjelaskan bahawa ini merupakan kali kedua tahun ini Menteri Belia dan Sukan telah membenarkan warganegara Israel memasuki Malaysia dengan pas masuk khas.
“Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menghentikan pengeluaran pas masuk khas kepada warganegara Israel sehingga negara Israel mengiktiraf kenegaraan Palestin,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan