Harakahdaily |
KUALA LUMPUR: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan menempelak hipokrasi Pemuda MCA. Ketuanya, Loke Siew Fook (gambar) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang memutuskan bahawa Seksyen 15(5) Akta Universiti dan Kolej Universiti yang membenarkan universiti mengambil tindakan disiplin terhadap pelajarnya adalah tidak sah dan mencabul kebebasan bersuara. “Keputusan ini adalah satu kemenangan moral kepada kebangkitan gerakan mahasiswa di Malaysia yang telah lama memperjuangkan pemansuhan Auku. “4 pelajar UKM yang membawa kes mereka ke mahkamah sehingga terhasilnya keputusan ini perlu dipuji di atas keberanian dan semangat perjuangan mereka yang cukup tinggi,” ujarnya dalam satu kenyataan. DAPSY juga, katanya bersetuju dan menyokong saranan pertubuhan pelajar Gamis yang menuntut supaya Auku dimansuhkan serta merta. Kata ahli Parlimen Rasah itu, sememangnya Auku perlu dimansuhkan seperti ISA dan mengembalikan autonomi dan kebebasan akademik kepada pihak universiti. Tambahnya, Auku telah lama mengongkong pemikiran mahasiswa tempatan dan melenyapkan budaya pemikiran kritis di kampus-kampus universiti awam. Namun, ujar beliau hipokrasi politik Pemuda MCA cukup terserlah dalam kenyataan Ketua Pemudanya, Datuk Wee Ka Siong yang mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini. Ka Siong mengatakan Pemuda MCA konsisten dalam pendirian mereka selama ini yang menuntut supaya Seksyen 15 AUKU dibatalkan. “Saya ingin mengingatkan Ka Siong semasa Rang Undang-undang untuk meminda Auku dibahaskan di Parlimen pada tahun 2008, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen MCA yang memperjuangkan supaya Seksyen 15 Auku dibatalkan,” kata Anthony Loke. Malah, katanya cadangan-cadangan untuk meminda Seksyen 15 oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di peringkat Jawatankuasa juga ditentang oleh Ahli Parlimen BN termasuk MCA. Tegasnya, DAPSY akan terus memperjuangkan pemansuhan Auku dan akan menyokong segala usaha yang dibawa oleh gerakan mahasiswa untuk menghapuskan Auku. “Malah, pemansuhan AUKU merupakan salah satu agenda utama Pakatan Rakyat sekiranya kita mendapat mandat rakyat untuk membentuk Kerajaan Persekutuan selepas PRU yang ke-13 nanti,” ujarnya. |
HALAMAN SANTAI
Selasa, 1 November 2011
Auku: DAPSY tempelak hipokrasi Pemuda MCA
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan