HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Januari 2012

Anwar dakwa kenyataan tentang Israel diputar belit

MALAYSIA KINI

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kenyataannya berhubung isu Israel dan Palestin diputar belit bagi menggambarkan beliau mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

Katanya, dalam wawancaranya dengan media antarabangsa Khamis lalu, beliau menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan jika syarat itu dipenuhi maka wajar hak rakyat Israel juga dihormati.

"Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin.

"Pendirian PKR adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi. Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut malah pastinya digilap dan diperkukuh," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilapor meminta Anwar memberi penjelasan tentang dakwaan memberi komitmen untuk mempertahankan Israel ketika ditemuramah oleh Wall Street Journal.

Muhyiddin menimbulkan persoalan sama ada Anwar mementingkan Israel dan menidakkan hak rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Yahudi itu.

"Adakah dia (Anwar) lebih mengutamakan Yahudi dan Israel daripada Palestin? Adakah ini pendirian sebenar Pakatan Rakyat, sedangkan kerajaan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel," beliau dipetik sebagai berkata kepada pemberita di Muar semalam.

Dalam kenyataan balasnya, Anwar berkata, pandangannya sejajar dengan prinsip PKR yang menjunjung keadilan sejagat dan tegas membela hak yang dizalimi, serta selari dengan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Inisiatif Keamanan Arab berteraskan "Penyelesaian Dua Negara".

Malahan, katanya, dasar luar negara juga menekankan prinsip penyelesaian itu, sebagaimana diungkapkan menteri luar ketika perbahasan perhimpunan agung PBB ke-66 pada 27 September tahun lalu di New York.

"Ternyata dari kenyataan menteri luar negara, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian.

"Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi," katanya.

Tiada ulasan: