Skim Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR-MTEN) dan Perumahan Awam DBKL yang diwujudkan untuk membantu mereka yang berminat memiliki rumah di kawasan ibu negara, akan mula beroperasi 1 Mac ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Jemaah Menteri pada 18 Januari lepas bersetuju dengan skim yang dicadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar itu.
Beliau berkata ia akan dikendalikan Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan dengan dana pembiayaan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Melalui skim khas ini, masalah memperoleh pinjaman diyakini dapat diatasi dan membantu keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah.
"Saya yakin melalui skim ini, bakal pembeli akan lebih mudah membeli dan memiliki rumah serta dapat mengatasi pelbagai kerenah dalam memperoleh pinjaman yang dihadapi selama ini," katanya ketika berucap pada pelancaran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 di Dataran Merdeka di ibunegara hari ini.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Dalam ucapannya itu, Najib berkata Wilayah Persekutuan adalah cerminan wajah masa depan Malaysia dan ia perlu menjadi contoh terbaik kepada bentuk perancangan pembangunan yang menyeluruh dan bertanggungjawab serta pelaksanaan pembangunan dengan amalan terbaik.
"Gejala negatif yang sering dikaitkan dengan proses urbanisasi harus dielakkan. Kreativiti dan inovasi perlu menjadi ciri kepada falsafah pembangunan di wilayah ini.
"Pembangunan tidak harus sekali-kali dilihat secara eka dimensi atau satu dimensi, ia harus dilihat secara bersepadu mengambil kira persoalan manusiawi, alam sekitar dan nilai estetika," katanya.
"Di peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, beberapa projek mega yang akan memberi impak positif kepada pembangunan dan kehidupan rakyat sedang dilaksanakan melalui Inisiatif NKEA Greater KL/Klang Valley seperti My Rapid Transit (MRT), River of Life, Iconic Places, Pedestrian Walkway, Greener KL serta projek pembetungan dan pengurusan sisa pepejal yang akan dilaksanakan," katanya.
"Peruntukan bagi semua projek pembangunan ini bagi tahun 2012 sahaja mencecah RM1.49 bilion," kata Najib, sambil menambah bagi menjadikan Greater KL/Klang Valley sebuah wilayah mesra pelabur dan berdaya saing, Invest KL ditubuhkan bagi mengadakan promosi pelaburan secara intensif dan berkesan.
Bagi Wilayah Persekutuan Labuan, kerajaan telah menetapkan hala tuju pembangunan berasaskan tiga teras utama iaitu sebagai hab atau pusat perdagangan industri minyak dan gas, pusat kewangan dan perniagaan antarabangsa dan sebagai destinasi pelancongan yang tersohor.
"Dengan pemilihan ketiga-tiga sektor ini, ianya tidak bermakna sektor atau industri lain yang terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan seperti sektor pendidikan, pengeluaran produk halal berasaskan hasil laut dan perniagaan runcit tidak diberikan perhatian yang sewajarnya.
"Kerajaan memberi jaminan sektor-sektor ini juga akan terus diperkukuh dan dipertingkatkan," kata Najib yang menarik perhatian bahawa kerajaan telah merangka Pelan Tindakan Rancangan Jangka Panjang Wilayah Persekutuan Labuan bagi memastikan Labuan memiliki prasarana dan kemudahan terbaik.
Beliau berkata bagi Wilayah Persekutuan Putrajaya pula, selain sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, ia akan terus mengekalkan ciri-ciri sebuah bandar pintar hijau, terurus dan tersusun dengan sistem perbandaran yang moden dan efisien.
"Saya amat berbangga kerana Putrajaya kini bukan sahaja terkenal sebagai pusat pentadbiran, malah dikenali di seluruh dunia sebagai destinasi pelancongan.
"Melalui inisiatif Vitalising Putrajaya di bawah NKEA Greater KL/Klang Valley, saya yakin Putrajaya akan menjadi sebuah bandar yang lebih segar atau vibrant dan berjaya menarik lebih ramai pelancong dan pelabur sekaligus merealisasikan wawasan pembangunan yang telah dirancang," katanya.
Najib mahu melihat penglibatan aktif semua pihak bagi melonjak kemajuan serta menjayakan usaha mengukuhkan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata rakyat mendambakan Wilayah Persekutuan yang bukan merupakan pulau batu yang nyah jiwa atau roh tetapi oasis hijau yang bugar, tempat terbaik untuk bekerja, berniaga, melabur, melancong, berlibur dan membina kehidupan berkeluarga.
"(Ia) bukan sahaja pusat komersial, pentadbiran kerajaan mahupun kewangan tetapi juga pusat perkembangan seni, budaya, sastera dan kulinari yang tersohor. Ini bukan impian kosong kerana ia mampu dicapai dengan perancangan rapi dan perlaksanaan yang gigih," katanya.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan