HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

Yayasan Wilayah bantu penyewa miliki rumah sendiri

FREE MALAYSIA TODAY

Yayasan yang akan dilancarkan pada Mac depan merupakan hasil kerjasama kementerian dengan KWSP untuk menyalurkan pinjaman kewangan kepada pemohon.



KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan melancarkan skim Yayasan Wilayah Persekutuan bagi membantu penyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam (PPA) yang kurang berkemampuan di sekitar ibu kota memiliki kediaman sendiri.

Menterinya Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata yayasan yang akan dilancarkan pada Mac depan merupakan hasil kerjasama kementerian dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyalurkan pinjaman kewangan kepada pemohon.

“Melalui yayasan ini kita akan membantu penyewa-penyewa PPR dan PPA khususnya Perumahan Awam DBKL yang dikehendaki berpindah dari rumah mereka agar dapat membeli rumah baru yang lebih selesa.

“Kita sedia maklum adakalanya terdapat bank-bank yang enggan memberi pinjaman kepada golongan ini disebabkan faktor kurang berkemampuan membayar balik pinjaman, umur atau nama pemohon telah disenaraihitamkan,” katanya kepada Bernama selepas ditemu

bual dalam program “Ala-Carte Pagi” Bernama Radio24, di Wisma Bernama, di sini, hari ini.

Raja Nong Chik berkata melalui pinjaman itu nanti beberapa kelayakan tertentu dan syarat yang lebih fleksibel akan dikenakan kepada pemohon.

Pinjaman RM35,000

Katanya, setiap pemohon dibenarkan meminjam sebanyak RM35,000 seorang selain diingatkan agar membayar balik wang pinjaman tersebut kerana ia melibatkan duit rakyat yang dikendalikan KWSP.

Terdahulu, dalam temu bual yang berlangsung selama satu jam bermula pada pukul 8.30 pagi itu, Raja Nong Chik turut menyentuh mengenai Perbadanan Kampung Baru yang akan ditubuhkan pada April depan.

“Kita telah mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan untuk dijadikan sebagai perintis, selain itu kita juga akan bekerjasama dengan pemilik tanah yang secara sukarela mahu tanah mereka dibangunkan,” katanya.

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 telah diluluskan di peringkat persidangan Dewan Rakyat pada 5 Okt tahun lepas dan satu Pasukan Interim telah dibentuk bagi tujuan mencadangkan struktur, pelantikan anggota perbadanan dan majlis penasihatnya.

Raja Nong Chik dalam masa yang sama turut menolak persepsi sesetengah pihak yang beranggapan projek pembangunan semula Kampung Baru dalam program Transformasi Kuala Lumpur atau ‘Greater KL’ bersifat menghapuskan elemen sejarah dan tradisi yang dimiliki penduduk.

“Kita tidak sekali-kali mengorbankan ciri-ciri keMelayuan dan keIslaman cuma kita tidak mahu ketinggalan dari arus pembangunan ekonomi, justeru kita perlu selaraskan kehendak ‘Greater KL’ dengan kehendak penduduk.

“Selain ‘Greater KL’, projek ‘River of Life’ dan ‘I Greened KL’ di bawah kementerian akan memberi lebih banyak manfaat kepada penduduk apabila sungai bertukar menjadi tempat riadah, tahap kebersihan akan jauh lebih baik dan Kuala Lumpur akan menjadi lebih hijau dengan tanaman pokok sebanyak 30,000 pokok setahun,” katanya. Bernama

Tiada ulasan: