HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

NFCorp Wajar Bertanggungjawab Atas Kelemahan NFC

ANTARA POS.COM




PETALING JAYA: Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan National Feedlot Corporation (NFCorp) “terikat” antara satu sama lain seperti yang dimeterai dalam perjanjian.

Sehubungan itu, tambah beliau lagi, NFCorp wajar bertanggungjawab atas kelemahan yang berlaku dalam NFC walaupun mereka merupakan entiti yang berlainan.

Kesimpulan beliau, secara tidak langsung mengenepikan kenyataan NFCorp bahawa laporan Ketua Audit Negara mengakui wujudnya kelemahan dalam NFC, yang merupakan agensi kerajaan dan bukan NFCorp yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.

"Ia perlukan komitmen kedua-duanya..Ya, kedua-duanya mesti tolong antara satu sama lain, dua-dua ada komitmen masing-masing sebab itu ada perjanjian.

Ada dua perjanjian yang perlu ditandatangani, satu perjanjian pinjaman dan satu lagi perjanjian pelaksanaan dan perjanjian itu berjaya dicapai pada 2010," katanya kepada media apabila ditanya samada NFCorp bertanggungjawab atas kelemahan NFC.

Noh, seterusnya menjelaskan bahawa NFC dan NFCorp memerlukan antara satu sama lain bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang baik dalam bidang pengeluaran ternakan daging lembu.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata mengenai kelemahan yang wujud NFC dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan.

Beliau berkata perkara yang menjadi fokus utama pengauditan oleh Jabatan Audit Negara ialah NFC sejak penubuhannya pada 2006 dan bukan NFCorp sebagai sebuah syarikat.

Menurutnya lagi, segala perkembangan baru mengenai NFC akan dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati terdapat kecelaruan terhadap projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam laporan 2010 itu, Ketua Audit Negara mendapati projek Pusat Fidlot Kebangsaan gagal untuk memenuhi objektif 8,000 ekor lembu pada tahun 2010 kerana tiga sebab, termasuk kegagalan NFC untuk menubuhkan Program Pembangunan Usahawan (EDP).

Berdasarkan perjanjian itu, NFC sepatutnya untuk menghasilkan 130 peladang satelit yang akan menerima lembu dan makanan untuk menggemukkan lembu, yang kemudiannya akan dibeli balik oleh NFC.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

Namun demikian, NFCorp menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

Syarikat itu turut menafikan dakwaan dan tuduhan dana RM250 juta itu dimasukkan ke dalam akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman berkenaan ditandatangani.

Tiada ulasan: