HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Januari 2012

Portfolio agama: Umno sengaja cetus provokasi

MALAYSIA CHRONICLE


SHAH ALAM- Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor yang baru, Dr Ahmad Yunus Hairi berpendapat tindakan mempersoal kononnya PAS dipinggir ekoran tidak diberi portfolio agama di Selangor hanya permainan politik Umno.

Menyifatkan tuduhan itu liar dan tidak berasas, Dr Yunus yang memegang portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu berkata, tindakan Umno itu juga sebagai cubaan melaga-lagakan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

Beliau menjelaskan, keputusan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim untuk memegang sendiri portfolio agama Islam yang sebelum ini dipegang bekas exco Datuk Dr Hasan Mohd Ali adalah keputusan terbaik untuk negeri itu khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 tidak lama lagi.

"Ini antara strategi, dalam masa singkat untuk menghadapi pilihan raya sudah tentu Menteri Besar mempunyai pandangannya sendiri.

"Kalau kita lihat di beberapa negeri lain, seperti saya dapat maklumat di Johor dan Pahang pun potfolio agama ini secara automatik di bawah Menteri Besar. Jadi ini bukan sesuatu yang terlalu ada kelainannya," ujarnya dalam satu temubual dengan Harakahdaily di pejabatnya baru-baru ini.

Dr Yunus yang juga Adun Sijangkang dilantik menjadi exco Selangor pada 18 Januari lalu menggantikan Dr Hasan yang dipecat keahliannya dari PAS.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai pembantu Exco Belia dan Sukan yang dipegang oleh Tan Sri Khalid.

Bagaimanapun selepas perlantikannya sebagai exco, kerajaan Selangor membuat rombakan kecil portfilio exconya.

Melalui rombakan itu, portfolio Infrastruktur dan Hal Ehwal Agama Islam yang dipegang Dr Hasan sebelum ini dipegang olehnya sendiri manakala portfolio Belia, Sukan dan Adat Resam Melayu diberi kepada Dr Yunus.

"Saya lihat (pertikaian) ini hanya (datang) dari parti lawan khususnya Umno. Selepas saya dilantik exco, ada pemimpin Umno call, SMS kata kenapa PAS dipinggir..., padahal PAS berlapang dada dan menyambut baik keputusan Menteri Besar itu.

"Saya ada dipanggil oleh setiausaha kepada Presiden PAS yang memaklumkan bahawa perlantikan saya ini mendapat restu daripada PAS Pusat, dan beberapa pimpinan PAS juga mengirimkan SMS mengucapkan tahniah," katanya lagi.

Sementara itu beliau turut membidas cubaan pihak tertentu yang mengantung kain rentang dibeberapa kawasan di negeri itu kononnya Dewan Pemuda PAS Selangor membantah tindakan yang tidak memberikan portfolio agama itu kepada PAS.

Sedangkan, Dewan Pemuda PAS negeri sendiri telah menafikan kaitan mereka dengan kain rentang itu dan menyatakan sokongan penuh kepadanya.

"Saya lihat ini dibuat oleh golongan yang sengaja nak cetus provokasi.

"Saya yakin tohmahan-tohmahan ini hanya akan berlalu begitu sahaja," jelasnya.-Harakahdaily

Tiada ulasan: