HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Januari 2012

PRU-13: Umno mesti hapuskan politik perkauman atau Melayu akan pupus

Viktor Wong, Malaysia Chronicle


Memandangkan pilihanraya umum ke 13 (PRU13) akan diadakan pada bila-bila masa sahaja dalam tahun ini, tibanya masa rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat tampil ke hadapan membawa pelbagai isu-isu dan masalah kepada calon-calon yang bakal bertanding, serta parti-parti politik dengan mendapatkan komitmen daripada mereka bagi menyelesaikan isu-isu dan permasalahan tersebut.

Isu-isu dan permasalahan inilah sepatutnya diberi perhatian oleh semua ahli-ahli politik. Setiap calon dan parti-parti politik yang akan bertanding perlulah menyatakan pendirian mereka dengan jelas mengenai pelbagai isu dan masalah yang telah dibangkitkan oleh rakyat jelata, termasuk pelbagai isu yang kini sedang hangat diperdebatkan umum.

Kebanyakan daripada isu dan permasalahan ini dapat diselesaikan dengan segera jika sekiranya ianya ditangani oleh seseorang calon atau parti yang komited dan pada masa yang sama kita selaku rakyat yang mengundi akan memantau calon-calon dan parti-parti bagi memastikan mereka ini benar-benar menepati janji yang telah ditaburkan oleh mereka.

Pemantauan yang paling senang untuk kita semua perhatikan adalah: jika calon-calon tersebut tidak menenuhi kehendak, menepati janji serta syor-syor yang dikemukakan oleh rakyat jelata, kita janganlah mengundi merea; jika parti-parti yang bertanding gagal menenuhi permintaan rakyat jelata ataupun tidak komited terhadap janji-janji mereka, kita juga tidak sepatutnya mengundi mereka lagi.

Permintaan utama dan yang paling penting daripada rakyat jelata adalah pemansuhan dasar-dasar perkauman di negara kita ini yang telah bertapak dengan kukuh sejak daripada 13 Mei 1969 lagi yang telah memberikan alasan kepada Umno untuk melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Perkauman di dalam kerajaan dan dasar-dasarya

Institusi perkauman ini boleh didefinasikan sebagai amalan yang secara langsung atau tidak langsung dilaksanakan di dalam dasar-dasar, peraturan, undang-undang, pengurusan, budaya dan pentadbiran sektor awam serta swasta, lantas daripada itu, telah mengakibatkan timbulnya sikap prejudis terhadap sesama sendiri.

Institusi perkauman yang pelbagai ini telahpun bertapak di Malaysia sejak DEB diperkenalkan oleh Umno bagi memperkukuhkan sistem kapitalisma politik mereka sejak daripada tahun 1971 lagi.

Untuk pengetahuan umum, institusi perkauman ini diwujudkan oleh penjajah British setelah tamatnya perang dunia kedua yang menyaksikan kekalahan Jepun serta diikuti dengan bantahan masyarakat terhadap pembentukan Malayan Union pada tahun 1946.

Artikel 153 kini milik Umno

Dalam pada itu, Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai hak keistimewaan orang-orang Melayu dan kaum bumiputra yang lain telah dipintas, dirampas dan disalahgunakan oleh Umno bagi tujuan untuk mengekalkan kuasa politik mereka, mengembangkan kekayaan dan ekonomi para pemimpin mereka.

Sejak dari bermulanya DEB, para pemimpin Umno ini sering mempergunakan kaedah “bumiputraisma” ini sebagai ideologi popular mereka untuk meraih sokongan daripada masyarakat Melayu.

Pindaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1971 yang menampakkan penambahan Fasal 8A bagi membentuk suatu sistem kuota telah jelas diambil kesempatan oleh Umno untuk membolot fakulti-fakulti pendidikan utama dan penting dengan menggunakan “Arahan Yang Dipertuan Agong” bagi mengelakkan mana-mana pihak daripada menentang perlaksanaan tersebut.

Perkauman dalam pembangunan, pendidikan dan kemudahan umum

Diskriminasi yang menyeluruh melalui dasar pembangunan sejak tahun 1971 yang merangkumi projek-projek besar seperti skim Felda, Petronas, Tenaga Nasional, Pos Malaysia dan peruntukan saham-saham syarikat serta lain-lain projek penswastaan yang dikelolakan oleh kerajaan.

Di dalam dasar pendidikan, dengan nada yang bongkak, menteri pendidikan tinggi Datuk Shafie Salleh dalam perhimpunan agung Umno tahun 2004 telah berikrar tidak akan membenar sessiapa pun selain daripada golongan bumiputra untuk menyertai UiTM yang jelas menunjukkan wujudnya diskriminasi yang menyeluruh di dalam institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Untuk pengetahuan umum lagi, diskriminasi di dalam institusi dan sektor awam sejak tahun 1971 telah dan sedang dibiayai sepenuhnya oleh para pembayar cukai bukan bumiputra.

Dan walaupun kebanyakan institusi dan sektor awam ini dikhususkan untuk orang-orang bumiputra, namum golongan bumiputra bukan Melayu pada lazimnya turut didiskriminasi ataupun diketepikan terus daripada pelbagai kemudahan yang telah dikhaskan untuk golongan tersebut.

Anjakan perkauman yang lebih menyeluruh

Institusi perkauman ini telah wujud di dalam sektor awam dan angkatan tentera sejak daripada 13 Mei 1969 lagi. Walaupun terdapat lebih kurang 30% kaum Cina di dalam sektor awam dan 40% kaum Cina di dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sekitar tahun 1960an, namum peratusan tersebut telah menurun dengan mendadak di bawah paras 5% dan 2% masing-masing pada hari ini.

Tindakan dan dasar perkauman yang lebih agresif dapat dilihat di dalam pembentukan doktrin dan kursus-kursus yang dianjurkan oleh Biro Tata Negara (BTN), pelbagai bentuk ancaman pembinasaan, penyemaian kebencian yang diketengahkan di dalam perhimpunan agung Umno serta penghasilan buku-buku teks yang berunsurkan penghinaan sesuatu kaum untuk pembelajaran di sekolah-sekolah.

Di dalam institusi perkauman inilah Umno telah menerapkan idea-idea perkauman seperti pendatang dan ketuanan Melayu yang sering diajukan bagi menakut-nakutkan masyarakat bukan Melayu, kontrovesi buku teks Interlok yang menghina kaum India turut dipertahankan sebagai bahan “sejarah” negara.

Sementara itu, masyarakat Cina dan India terus dicap sebagai pendatang yang senantiasa menentang kaum bumiputra di dalam propaganda rasmi kerajaan. Di dalam isi kandungan dan bahan rujukan kursus BTN para peserta kursus Melayu diseru agar membenci kaum lain, manakala para peserta bukan Melayu pula diseru akur walaupun dilahirkan di negara ini.

Selain daripada itu, kaum India juga sering dijadikan mangsa dengan melabelkan mereka ini sebagai penyumbang terbesar kepada kenaikan kadar jenayah negara melalui pelbagai statistik dan penyelidikan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Akibat daripada itu, masyarakat India turut menjadi mangsa di dalam beberapa siri keganasan polis yang menyaksikan beberapa kes penderaan dan kematian sewaktu dalam tahanan, manakala di dalam sektor perladangan pula masyarakat India terus dianiayai dan dipinggirkan daripada arus pembangunan, kemajuan dan kemudahan pelbagai.

Kita juga dapati bahawa golongan perkauman yang ekstrim dan radikal ini sering terlepas daripada tindakan undang-undang oleh kerana kedudukan mereka yang kebal disebabkan oleh kait rapat mereka dengan golongan elit dalam Umno dan kerajaan.

Perlunya pemulihan segera

Sejarah hitam 13 Mei 1969 yang lalu perlulah disiasat semula melalui pembentukan sebuah Suruhanjaya Pemulihan dan Kebenaran. Begitu juga dengan peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Kampung Medan pada tahun 2001 yang dipercayai didalangi elemen-elemen yang rapat dengan kepimpinan tertinggi Umno.

Sebuah Suruhanjaya Kesamarataan dan Hak Asasi Kemanusiaan juga perlu dibentuk bagi memastikan jenayah perkauman Umno dan sekutunya di Kampung Baru pada tahun 1987, ancaman pembakaran dan pemusnahan terhadap Dewan Perhimpunan Cina Selangor mengenai isu Suqiu dalam tahun 1999 dan perhimpunan perkauman yang ganas yang dianjurkan oleh Barisan Bertindak Malaya pada tahun 2001 agar tidak berulang dan ianya ditangani mengikut lunas undang-undang yang sedia ada.

Untuk itu, di dalam PRU13 yang akan datang, marilah kita semua bersama-sama menuntut agar amalan perkauman yang mengancam masyarakat kita ini dimansuhkan dengan segera dan meminta agar beberapa perkara tersebut dilaksanakan:

1.Memansuhkan DEB yang kini telah banyak dicemari dengan pelbagai bentuk penyalahgunaan kuasa, penyelewengan peruntukan dan sebagainya oleh para pemimpin Umno. Selain daripada itu, pembaharuan menyeluruh di dalam dasar ekonomi dan pendidikan juga haruslah dilaksanakan berdasarkan keperluan sektor ataupun kelas dan bukannya mengikut sesuatu kaum atau agama,

2.Memansuhkan Fasal 8A Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan yang telah diwujudkan sewaktu darurat pada tahun 1971 di mana ianya bukan sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan 1957 yang asal,

3.Laksanakanlah sistem ujian kelayakan secara adil dan profesional bagi para pemohon biasiswa dan kemudahan pinjaman berdasarkan kebolehan dan kepakaran seseorang dan bukannya berdasarkan warna kulit,

4.Laksanakanlah pengambilan secara berkelayakan dan kebolehan seseorang ke dalam perkhidmatan awam, angkatan tentera dan polis dan bukannya berdasarkan warna kulit dan suatu keturunan,

5.Diwujudkan Akta Kesamarataan (Equality Act) bagi menegakkan hak kesamarataan dan membendung diskriminasi terhadap kaum, agama, keturunan, kebudayaan, jantina dan ekonomi melalui pembentukan satu Suruhanjaya Kesamarataan dan Hak Asasi Kemanusiaan,

6.Menggalakkan hak-hak kesamarataan dan hak asasi kemanusiaan di dalam dasar pendidikan, kesatuan sekerja dan institusi-institusi yang berkaitan,

7.Menerima dan mengiktiraf sepenuhnya Konvensyen Antarabangsa Bagi Membendung Diskriminasi Kaum; Konvensyen Antarabangsa Hak-hak Sivil dan Politik, Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malaysia Chronicle

Tiada ulasan: