Tun Dr Mahathir Mohammad semalam menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan simpatisan Yahudi.
Dr Mahathir sengaja memutarbelitkan kenyataan Anwar dan sengaja melupakan hubungan akrabnya dengan Amerika suatu ketika dahulu.
Anwar telah menjelaskan bahawa kenyataannya di dalam akhbar Wall Street Journal yang dimainkan UMNO dan media mereka hari ini adalah selari dengan penyelesaian dua negara (two-state solution) yang diterima inisiatif keamanan dunia Arab, Malaysia malah Hamas sendiri, pejuang kemerdekaan Palestin.
Mahathir mungkin kelihatan begitu lantang bersuara menentang Zionis dan Barat tetapi sebenarnya mempunyai hubungan yang cukup baik dengan mereka sehingga sanggup menandatangani perjanjian ketenteraan sulit dengan Amerika pada 1984 – Bilateral Training and Consultation Agreement (BITAC) - yang membolehkan Amerika menjalankan latihan ketenteraan mereka di Malaysia.
Selepas imej Malaysia punah teruk di mata masyarakat antarabangsa akibat pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Mahathir begitu terdesak untuk bertemu dengan Bush sehingga Jack Abramoff, seorang ahli lobi Zionis dibayar sebanyak AS$1.2 juta untuk mengatur pertemuan dengan Bush. Fakta ini diakui oleh Dr Mahathir sendiri.
Abramoff mempunyai hubungan rapat dengan Bush dan juga golongan ekstrem di Israel. Menurut majalah Newsweek ada wang yang dikutip oleh Abramoff di dalam aktiviti melobinya yang disalurkan untuk penduduk Yahudi melawan kebangkitan rakyat Palestin. Abramoff akhirnya mengaku bersalah di atas tuduhan rasuah, penipuan dan lain-lain lagi pada 2006.
Selepas itu, Bush menganggap Malaysia sebagai sekutu di dalam Perang Melawan Keganasan dan Malaysia menggunakan alasan tersebut untuk menangkap sesiapa sahaja yang dikehendaki termasuk anggota pembangkang yang dituduh sebagai pengganas di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
Nampaknya Dr Mahathir terus menyimpan dendam lamanya terhadap Anwar. Beliau dan pimpinan UMNO nampaknya tidak dapat berhenti menghamburi fitnah semata-mata untuk mengalihkan dari satu demi satu skandal yang membelenggu mereka.
Nik Nazmi Nik Ahmad ialah Pengarah Kommunikasi, PKR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan