HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Januari 2012

Orang Asli di Johor berang kawasan kubur dimusnahkan

MALAYSIA KINI

Orang Asli dari suku kaum Seletar di sekitar Johor Baru berang berhubung pemusnahan kubur nenek moyang mereka.

Dalam satu kenyataan hari ini, wakil Rangkaian Orang Asli Seletar Laut, Eddy Salim berkata dua jengkaut telah mencerobohi tanah perkuburan nenek moyang mereka berhampiran Kampung Orang Asli Sungai Temon dan Kampung Bakar Batu untuk kerja-kerja tanah bagi pelan pembangunan Iskandar.

Katanya, apabila ditemui masyarakat Orang Asli di situ, kakitangan kontraktor berkenaan gagal menunjukkan sebarang permit kerja tetapi mendakwa semua kelulusan yang diperlukan telah diperolehi daripada pihak berkuasa.

Masyarakat Orang Asli di situ telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada hari yang sama dan kerja-kerja terbabit telah digantung buat sementara waktu.

Bagaimanapun, kata Salim, kerosakan telah dilakukan dan tidak boleh ditarik balik.

Menurutnya, kawasan hutan sepanjang lebih 200 meter telah ditolak oleh jengkaut, dan sekurang-kurangnya 10 kubur Orang Seletar telah dibakar.

Berikutan kejadian itu, satu dialog telah diadakan dengan Jabatan Pembangunan Orang Asli (Jakoa), Lembaga Pembangunan Iskandar (IRDA), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan ketua-ketua kampung tempatan.

Mereka dimaklumkan bahawa kawasan tanah Kampung Sungai Temun telah diserahkan kepada Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) milik kerajaan negeri, pada tahun 1999.

Menurut Salim, ini adalah kali pertama mereka diberitahu bahawa tanah mereka, termasuk dewan komuniti tempat dialog tersebut diadakan, telah lama menjadi milik syarikat berkenaan.

Katanya, masyarakat Orang Asli berasa marah dan tidak mampu berbuat apa-apa, apabila tanah nenek moyang mereka telah dirampas dari mereka, tetapi kerajaan berbuat apa-apa untuk membantu mereka.

Lebih buruk lagi, tambahnya, keadaan itu sering membabitkan syarikat-syarikat yang dikuasa atau berkaitan dengan kerajaan.

Menurut Salim lagi, pemusnahan hutan bakau juga telah mengancam kehidupan mereka, kerana kebanyakan penduduk kampung bergantung kepada penangkapan ikan.

Bagaimanapun, Salim mengucapkan terima kasih kepada Suhakam, yang diwakili oleh pesuruhjayanya, Muhammad Sha'ani Abdullah, di atas sokongan yang diberikan.

"Beliau menghantar mesej ringkas dan jelas bahawa masyarakat Orang Asli mempunyai hak ke atas tanah adat mereka, dan ini adalah fakta yang tidak boleh dipertikaikan dan telah diperakui banyak kali oleh mahkamah," katanya.

Salim mengecam projek-projek pembangunan yang berterusan di sekeliling kampung mereka yang dijalankan tanpa mengambil kira kepentingan penduduk.

NONE"Jika projek-projek pembangunan seperti Danga Bay dan Iskandar Malaysia adalah untuk membawa kemajuan kepada rakyat, bagaimana pula mereka telah menjejaskan hak dan kehidupan kita?"

Pada Disember tahun lepas, kira-kira 500 Orang Seletar telah mengadakan bantahan di luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar selepas tanah mereka diserahkan kepada pemaju untuk pelan pembangunan Iskandar.

Penduduk kampung tersebut, yang juga dikenali sebagai Orang Laut, adalah peneroka asal wilayah selatan Johor, yang tinggal di sepanjang selat itu serta di sepanjang Sungai Johor dan Sungai Pulai.

Tiada ulasan: