HALAMAN SANTAI

Isnin, 30 Januari 2012

Kenapa pegawai NFC tidak dibawa ke muka pengadilan, soal pemimpin PKR


PETALING JAYA — Naib Presiden PKR, N.Surendran hari ini menuntut penjelasan pihak polis yang dilihat tidak mengambil tindakan terhadap seorang pegawai tinggi Pusat Fidlot Nasional (NFC) walaupun pihak berkuasa berkenaan telah mempunyai bukti pegawai tersebut telah mengarahkan ahli perniagaan Datuk Shamsulbahrin Ismail merasuah pihak polis.

N.Surendran menegaskan, pihaknya yakin bukti tersebut berada dalam tangan pihak polis berikutan salah satu telefon bimbit yang dirampas mereka daripada Shamsulbahrin mengandungi bukti Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengarahkan Shamsulbahrin merasuah polis oleh pegawai tersebut.

“Kami menuntut pihak polis mengemukakan penjelasan mengapa masih lagi membiarkan pesalah ini bebas, sedangkan mereka sudah mempunyai bukti di atas dakwaan cubaan merasuah pihak polis.

“Tindak tanduk agensi penguatkuasa sendiri dilihat berperanan cuba untuk menutup kes dan menjadikan Datuk Shamsubahrin (gambar) sebagai kambing hitam,” tegasnya.

Sehubungan itu, N Surendran yang juga hadir dalam sidang media di Pejabat PKR bersama-sama Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin memohon penjelasan daripada pihak berkuasa berkenaan berhubung perkara itu.

“Saya ingin minta penjelasan daripada pihak berkuasa, sekiranya SMS itu mengandungi maklumat yang betul, apa tindakan yang dibuat?,” soalnya.

Gesaan sama turut dibuat oleh Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa yang turut hadir dalam sidang media tersebut.

“Apakah tindakan yang akan diambil pihak berkuasa kerana ada dakwaan yang serius dalam dokumen ini, pihak berkuasa sudah ada maklumat, tapi mereka bawa dakwaan palsu dan tidak berasas terhadap Datuk Shamsubahrin.

Jelasnya, dakwaan yang dikenakan ke atas Shamsulbahrin tuduhan menipu adalah tuduhan yang amat jahat.

Selain itu, beliau juga menuntut Perdana Menteri dan Datuk Seri Najib Razak, dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat penjelasan yang mengatakan tidak terdapat sebarang isu terhadap skandal NFC.

“Kami mahukan penjelasan perdana menteri dan timbalannya yang menyatakan tiada isu terhadap NFC ini, kami sudah melihat kandungan SMS tersebut, malah telefon Shamsulbahrin masih lagi berada dalam tangan pihak berkuasa,” tegasnya.

Menurutnya lagi, pihaknya juga melihat perkara itu sebagai penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa terhadap Shamsulbahrin.

Tiada ulasan: