HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Januari 2012

Pentadbiran Najib berdendam dengan Aziz Bari – Fadiah

Oleh: Masdar Wahid

KUALA LUMPUR: Tindakan pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa (UIA) menarik balik gelaran profesor kepada Dr Abdul Aziz Bari jelas bersifat dendam kepada pakar perlembagaan itu, kata peguam, Fadiah Nadwa Fikri.

Ini kerana katanya, tindakan itu jelas bersifat politik dan bertentangan dengan kebebasan bersuara yang kononnya pentadbiran dilaungkan Datuk Seri Najib Razak.

“Tindakan ini membuktikan betapa pentadbiran kerajaan sukar menerima perbezaan pendapat dari kalangan golongan akademik di negara ini.

“Sebagai anak didik beliau, saya melihat Profesor Dr Aziz Bari hanya memberi pandangannya mengenai sesuatu isu berpaksikan ilmunya dan ini sebenarnya baik untuk percambahan ilmu dalam masyarakat,” katanya dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Menurutnya, pandangan yang dikemukakan Aziz Bari itu berteraskan fakta sekaligus melangkaui kepentingan politik.

“Kalaupun pandangan Prof Aziz Bari berbeza dengan kepentingan kerajaan, ia sepatutnya diterima secara ilmu dan bukan emosi sehingga sanggup menarik balik gelaran beliau.

“Sebab, hanya kerajaan kuku besi sahaja yang menghalang kebebasan bersuara,” tegasnya.

Fadiah ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang UIA sejak 2001 hingga 2006 dan kini merupakan peguam yang aktif dalam kumpulan Lawyers For Liberty.

Pada 30 Januari lalu, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UIA, Abdul Rahim Ahmad berkata, Dr. Abdul Aziz Bari tidak boleh lagi menggunakan status profesor dan sebarang aktiviti pakar perlembagaan itu selepas ini tiada kaitan dengan universiti itu.

Aziz kerap dijemput pelbagai pihak yang meminta pandangan beliau dalam pelbagai isu dari aspek perlembagaan namun pandangan beliau sukar didedahkan dalam media kawalan Umno.

Tiada ulasan: