HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

Pakatan perlu ambil tindakan tegas terhadap Azizan

"Kalau nak sokong AUKU, masuk Barisan Nasional (BN) lah. BN pro AUKU," kata Aziz Bari.



SHAH ALAM: Pakatan Rakyat digesa mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak kerana menggunakan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap pelajar Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kedah.

Pakar Perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata tindakan Azizan itu jelas bertentangan dengan janji Pakatan yang mahu menghapuskan AUKU seperti yang tercatat dalam Buku Jingga.

“Pakatan Rakyat perlu bertegas dalam hal ini kerana tiada pemimpin Pakatan yang harus ingkar perjanjian bersama dalam Buku Jingga,”katanya selepas menghadiri wacana bertajuk Masih Relevankah AUKU di bangunan Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Katanya, ini bukan kali pertama Azizan menimbulkan ‘kontroversi’ yang tidak selari dengan prinsip Pakatan dalam hal ehwal pentadbiran Kedah.

“Kalau nak sokong AUKU, masuk Barisan Nasional (BN) lah. BN pro AUKU,” kata bekas pensyarah undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa itu.

Pada Mei tahun lalu, lima mahasiswa Kuin dibicarakan dan digantung pengajian kerana didapati terlibat dalam demonstrasi menyatakan bantahan terhadap pembinaan Sekolah Insan Bestari yang menggunakan bangunan tahfiz.

Mereka membantah pembinaan dikawasan tersebut kerana dilihat tidak strategik dan akan mengganggu proses pengajian dan pembelajaran mahasiswa tahfiz

Atas kesalahan dibawah peruntukan AUKU, empat daripadanya digantung satu semester manakala seorang lagi dua semester.

Tiada ulasan: