HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Januari 2012

Hanya mahu serah memo, kenapa NFC enggan terima? – Jingga 13

Oleh: Nabiha Hamid

KUALA LUMPUR : Keengganan syarikat projek lembu National Feedlot Corporation (NFC) menerima memorandum oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menimbulkan prasangka lebih buruk terhadap syarikat itu.

Jingga 13 melahirkan rasa kecewa apabila syarikat milik keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil enggan menerima memorandum mereka menuntut penjelasan tentang penggunaan kad kredit oleh keluarga Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail yang bernilai RM593,500 pada 2009.

“Kenapa enggan terima? Kami hanya mahu menyerahkan memorandum. Kalau betullah wang dana itu digunakan untuk pembangunan perniagaan, jadi kenapa takut untuk dedah kepada umum kepada penggunaan kad kredit tersebut?,” kata Ketuanya Fariz Musa.

“Ini mesti ada benda tersembunyi pada umum. Dan sampai kini tidak ada sebarang tindakan yang dibuat,” katanya kepada KeadilanDaily.

Semalam KEADILAN membuat pendedahan terbaru terhadap skandal NFC dengan mendakwa ahli perniagaan Datuk Shamsulbahrin Ismail telah diarah seorang pegawai NFC untuk merasuah pihak polis bagi menutup siasatan terhadap skandal pusat penternakan lembu tersebut.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN berkata, pihaknya difahamkan bukti tersebut dikirim melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) oleh pegawai tersebut kepada Shamsulbahrin.

Syarikat NFC telah dibekukan asetnya bagi memudahkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan berhubung kes pecah amanah dalam projek tersebut.

Ianya ekoran pendedahan bersiri KEADILAN penyelewanan dana RM250 juta untuk membeli tanah, hartanah, dan perbelanjaan yang tidak melibatkan projek tersebut oleh Ketua Wanita Umno itu dan keluarganya.

Tiada ulasan: