Presiden MIC itu merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Rata di Cameron Highland.
PETALING JAYA: Ada usaha untuk menyingkirkan Naib Presiden MIC, Datuk SK Devamany daripada mempertahankan kerusi parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya umum ke 13, dakwa beberapa pemimpin Umno bahagian.
Ketua Wanita Umno Cameron Highland, Ramiza Mohd Husain juga mendakwa perkara yang sama.
“Saya mendapat tahu Ketua Umno bahagian Cameron Highlands, Datuk Wan Rosdy Ismail Wan Ismail mahu membawa masuk Presiden MIC, Datuk G Palanivel bertanding di kerusi parlimen tersebut.
“Beliau mahu Devamany yang sudah dua penggal menjadi ahli parlimen Cameron Highlands digantikan. Tetapi Wanita Umno menentang,” kata Ramiza.
“Saya mendapat tahu Pemuda dan Puteri Umno juga menentang. Ini yang disampaikan kepada saya.
“Devamany tidak buat salah apa pun. Dia orang baik. Dia baik dengan orang Melayu tetapi orang atas tidak suka dia.
“Orang atas ini (Wan Rosdy) sudah berjumpa Palanivel dua kali – sekali pada bulan Disember dan yang terbaru bulan ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
‘Orang Umno burukkan Devamany’
Raziah berkata, untuk kepentingan bersama, isu ini perlu diselesaikan segera kerana bimbang orang Melayu tidak menyokong calon baru kerusi parlimen Cameron Highlands.
“Ada segelintir orang Umno sendiri yang memburuk-burukkan Devamany dengan harapan ahli parlimen itu digugurkan.
“Kita berharap Datuk Wan Rosdy melihat perkara ini dan berbincang dengan kami semua sebelum keputusan akhir dibuat,” kata Ramiza.
Seorang AJK Umno bahagian berkata, Palaniveil sudah menjalankan beberapa aktiviti di Cameron Highlands.
Katanya, beberapa hari lalu presiden MIC itu merasmikan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Tanah Rata di Cameron Highlands.
“Orang-orang Palanivel juga sudah ada di Cameron Highlands,” tambahnya.
Bagaimanapun, katanya ramai orang Umno tidak gembira kerana kredibiliti Palanivel sudah tiada sejak kalah dalam pilihan raya umum 2008 di parlimen Hulu Selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan