HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

Tabung Haji rampas ribuan hektar tanah adat

Tanah-tanah NCR tersebut merupakan kawasan hutan rayau, bercucuk tanam dan kawasan sungai menangkap ikan.



PETALING JAYA: PKR mengecam tindakan Tabung Haji Plantations Sdn Bhd, anak syarikat Lembaga Tabung Haji bermaharajalela dengan merampas beribu-ribu hektar tanah adat (NCR) milik pribumi Sarawak di Krian yang terletak dalam daerah Saratok, Bahagian Betong.

Penyelaras PKR Parlimen Pasir Salak, Abdul Razak Ismail berkata, tanah-tanah NCR tersebut merupakan kawasan hutan rayau, bercucuk
tanam dan kawasan sungai menangkap ikan bagi masyarakat Iban, Bidayuh, Melanau dan lain-lain kaum pribumi Sarawak.

“Tanah-tanah itu sekarang ini telah diterokai oleh Tabung Haji Plantations dengan pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran,” katanya kepada FMT hari ini.

Katanya, antara tanah NCR dikenalpasti telah dan sedang diterokai oleh Tabung Haji Plantations ialah kawasan Selambong-Jengara-Sedan (Lot 410, Block 18, Awik-Krian Land District), Sungai Gruyu, Saratok (Lot 3, Block 16, Awik-Krian Land District) melibatkan tanah hutan seluas 1,270 hektar dan tanah di Jalan Pusa-Sessang, Roban (Lot 121, Block 19, Kalaka Land District) seluas 1,520 hektar.

“Dari segi moralnya adalah tidak wajar Tabung Haji, sebagai sebuah agensi kerajaan yang mengendalikan urusan jemaah haji ke Tanah Suci Mekah menggunakan keuntungan dari hasil pelaburan dalam sektor perladangan melalui Tabung Haji Plantations.

“Tetapi pada hakikatnya sumber tersebut diperolehi melalui cara penindasan dengan merampas tanah milik orang lain, ujar Abdul Razak.

Razak bersama Exco Selangor dan juga Adun Taman Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan 30 petugas parti dari Selangor terlibat berkempen selama lebih sebulan dalam pilihan raya negeri Sarawak April lalu di Dun Krian yang dimenangi oleh Ali Biju.

Sementara itu, Ali Biju berkata, masyarakat pribumi tidak hanya berpeluk tubuh terhadap perampasan tanah adat mereka.

Sebaliknya mereka telah membawa kes tersebut ke mahkamah dan kes mereka dikendalikan oleh peguam dan juga Adun PKR-Ba’kelalan, Baru Bian dan John Antau.

Tiada ulasan: