HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

Ceramah ABU: 6 lelaki dibebas dengan ikat jamin

Mereka disiasat mengikut Seksyen 148, Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan rusuhan.


ALAM: Polis Selangor menahan dan kemudian membebaskan enam lelaki remaja bagi membantu siasatan berhubung insiden serangan ketika ceramah Asal Bukan Umno (ABU) di Dewan Orang Ramai, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Jalan Kebun di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, keenam-enam lelaki tersebut yang berusia di antara 16 hingga 19 tahun yang juga penduduk tempatan dilepaskan dengan jaminan polis pagi tadi.

“Tiga daripada mereka ditahan pada 24 Januari lalu manakala tiga lagi ditahan awal pagi ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Zahedi menafikan penglibatan polis yang didakwa bersubahat dengan pihak tertentu dalam insiden itu kerana pihak polis mendapat tahu selepas kekecohan itu berlaku dan bukan sebelumnya.

“Sehingga hari ini, polis menerima enam laporan tentang kejadian itu dan semua laporan akan diteliti dan diambil tindakan. Namun begitu, tiada sebarang kerosakan harta benda milik awam dilaporkan oleh MBSA,” katanya.

Ujar Zahedi, mereka yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 148, Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan rusuhan.

Katanya, mereka yang terlibat adalah individu bebas, tiada kaitan dengan mana-mana parti seperti yang didakwa.

“Tiada sesiapa memakai pakaian beruniform atau baju Umno. Semua dalam pakaian biasa dan dakwaan bahawa mereka memakai baju Umno hanya cerita sahaja,” jelas beliau.

Laporan terhadap Hindraf

Sementara itu, satu laporan polis dibuat oleh wakil penduduk Jalan Kebun menggesa Hindraf (parti yang tidak berdaftar) agar tidak memasuki kampung tersebut.

Jurucakap penduduk terbabit Shaari Basri, 53, mempersoalkan kehadiran Hindraf di kampung itu dan menambah, 100 peratus penduduk kampung Jalan Kebun adalah Melayu dan kehadiran Hindraf menimbulkan keraguan.

“Hindraf adalah parti yang diharamkan. Kenapa nak buat majlis di Jalan Kebun? Jangan salahkan penduduk kampung sebab provokasi yang berlaku. Yang buat Hindraf,” dakwa beliau yang hadir membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam petang tadi.

Beliau hadir bersama kira-kira 30 penduduk kampung yang lain.

Dalam kejadian pada 21 Januari lalu, ceramah ABU itu terpaksa ditunda selepas diganggu sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu dan topi keledar.

Tiada ulasan: