Bila perkataan seks diketengahkan dan Rasulullah SAW dijadikan tokoh utama, pasti ada orang kata KTS buat kontroversi lagi atau cari publisiti lagi, kata Fauziah Ariffin.
PETALING JAYA: Kelab Taat Suami (KTS) yang pernah mencetuskan kontroversi dengan menyifatkan isteri ibarat pelacur kelas pertama dan menerbit buku panduan Seks Islam sebelum ini, kini melancarkan kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’, bersempena sambutan Maulidur Rasul pada 5 Februari ini.
Wakil KTS di Malaysia, Fauziah Ariffin berkata kempen itu mengajak umat Islam mencontohi Rasulullah SAW dalam semua aspek kehidupan.
Jelas beliau, kempen ini juga memberi kesedaran kepada semua bahawa Rasulullah SAW adalah contoh terbaik bagi seluruh umat manusia.
“Bila perkataan seks diketengahkan dan Rasulullah SAW dijadikan tokoh utama, pasti ada orang kata KTS buat kontroversi lagi atau cari publisiti lagi.
“Sebenarnya tidak. Perkataan seks itu sendiri sudah sangat dirosakkan oleh golongan tertentu dengan mengamalkan hubungan seks secara haram iaitu seks bebas, seks luar tabii dan sebagainya.
Contoh terbaik
“Bahkan dalam kehidupan dalam sesebuah rumah tangga pun semestinya kita menjadikan baginda sebagai model ikutan. Sebab Allah SWT pun menyebut di dalam Al Quran, yang antara maksudnya ‘pada diri Rasulullah itu terdapat contoh tauladan yang baik’,” katanya kepada FMT.
Ujar Fauziah, pihak KTS tidak akan memperkatakan sesuatu yang tidak setanding atau setaraf dengan kedudukan baginda, apatah lagi, jauh sekali dari mahu mencemar manusia paling mulia dan agung yang diciptakan oleh Allah itu.
Katanya, kerukunan dan keharmonian rumah tangga Rasulullah SAW sebagai suami dan pemimpin kepada 11 isterinya patut dicontohi, walaupun untuk umat Islam hanya dibenarkan beristeri empat.
“Sebenarnya seks suci yang berlandaskan perkahwinan yang sah disisi Islam adalah nikmat tertinggi yang dikurniakan Allah di dunia ini.
“Sudah tentu orang yang boleh menikmatinya adalah orang yang paling bertaqwa dan orang yang paling bertaqwa adalah Rasulullah sendiri,” ujar Fauziah.
Beliau menyoal, “kalau masyarakat berlurus hati kenapa tidak dapat menerimanya? Bukankah kehidupan berumah tangga atau dalam erti kata yang lain kehidupan seks itu sebahagian dari kehidupan normal manusia?.”
Semalam turut diadakan pelancaran kempen ‘Rasulullah Tokoh Seks Suci Islam’ di Pusat Perdagangan Pelangi, Damansara.
Kempen itu diadakan selama 12 hari bermula semalam sebagai menyambut hari keputeraan Nabi Muhammad SAW yang jatuh pada 5 Februari ini atau 12 Rabiul Awwal 1433H mengikut kalendar Islam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan