MALAYSIA KINI
Pemimpin supremo DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan medianya menempelak keluarga ketua wanita Umno itu masih cuba berselindung berhubung bayaran yang diterima mereka dari syarikat projek penternakan lembu negara itu.
Menurut Lim, meskipun keluarga berkenaan menafikan dakwaan bahawa mereka dibayar gaji berjumlah RM215,000 sebulan, namun mereka belum membekalkan angka yang sebenar.
"Adalah ketara bahawa selepas diheret dengan kemelut ini untuk lebih tiga bulan, anggota keluarga Shahrizat, yang menerajui NFC gagal membersihkan diri mereka daripada pelbagai dakwaan salah guna kuasa dan dana awam yang dilemparkan walaupun ada percubaan di pihak mereka untuk bertemu dengan penulis-penulis blog yang 'mesra' dan dengan badan-badan bukan kerajaan.
Sebagai contoh, kata Lim, setakat ini walaupun keluarga Shahrizat yang juga menteri wanita, keluarga dan pembangunan masyarakat itu menafikan mereka menerima RM215,000 sebulan, jumlah gaji sebenar mereka tidak didedahkan.
Sebelum ini dilaporkan suami Sharizat, Datuk Mohammad Salleh Ismail didakwa dibayar RM100,000 gaji bulanan sebagai pengerusi NFC.
Anak pasangan itu yang berusia 31 tahun, Izmir pula dikatakan mendapat RM45,000 sebulan sebagai pengarah eksekutif,. Seorang lagi anak lelaki mereka, Wan Shahinur Izran, 27 yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif mendapat RM35,000 sebulan manakala anak perempuan mereka yang berusia 25 tahun, Wan Izzanah Fatimah pula didakwa dibayar RM35,000 sebulan sebagai seorang lagi pengarah.
"Apakah alasan bagi Shahrizat dan keluarganya kerana gagal membersihkan nama mereka di mata rakyat?" soal Lim lagi dalam kenyataannya itu.
NFC terjebak dalam skandal apabila timbl pendedahan bahawa pinjaman mudah RM250 juta yang diberikan kerajaan untuk projek ternakan lembu negara itu telah dibelanjakan untuk membeli kondominium mewah dan perbelanjaan lain yang didakwa berbentuk peribadi.
Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) juga mengakui bahawa terdapat "kelemahan" dalam projek itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan