HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Januari 2012

Yang rasis Muhyiddin Yassin dan Awang Selamat

Oleh Hata Wahari


Orang Melayu jangan terperangkap dengan pemikiran sempit Timbalan Perdana Menteri dan Utusan Melayu.

Saya terpanggil untuk membuat kenyataan ini berikutan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa orang Melayu tidak harus terperangkap dengan perangkap DAP, sebaliknya perkara yang paling relevan sekarang ialah orang Melayu jangan terperangkap dengan kata-kata Timbalan Perdan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pertamanya, saya ingin menegaskan orang Melayu kini semakin terbuka untuk menilai sebuah parti berbilang kaum DAP sebagai sebuah parti yang telus dan ikhlas untuk berjuang untuk kepentingan semua kaum di negara Malaysia yang tercinta.

Keduanya, orang Melayu kini boleh duduk berbincang dengan orang Melayu yang menyertai DAP walau pun mereka dari Umno dan menerima penjelasan dengan baik serta tidak lagi bersikap ingin memusuhi ataupun menghamburkan kata-kata penghinaan.

Ketiganya, orang Melayu kini telah mula menyedari bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) bukan lagi parti yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu sebaliknya sebuah parti yang mementingkan kroni serta suku sakat mereka sahaja.

Keempat, orang Melayu kini telah bersedia untuk menongkah arus memastikan kesenimbungan perjuangan pemimpin-pemimpin lampau yang mahukan Malaysia menjadi sebuah negara aman, makmur dan bersatu sesuatu yang telah gagal di laksanakan oleh Umno dan Barisan Nasional.

Pengalaman saya menyertai DAP sejak 21 Januari lepas, saya dapat menjalani kehidupan seperti biasa, ke masjid solat berjemaah, menghadiri kenduri kahwin jiran, dan alhamdulilah berterusan memberi sedekah pada malam Jumaat selepas bacaan Yassin dengan menyediakan juadah untuk jemaah.

Semuanya ini dilakukan tanpa halangan, alhamdulilah orang Melayu tidak lagi berfikiran sempit malahan telah dapat menerima realiti dengan memastikan tidak berlaku perpecahan kerana perbezaan parti politik.

Saya juga tidak terkejut dengan tindakan berterusan Mingguan Malaysia akhbar mingguan yang diterbitkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sebuah syarikat milik Umno yang menyatakan bahawa DAP adalah parti paling rasis bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Ruangan pojok yang ditulis oleh Awang Selamat, walau pun saya mengenali dan tahu siapakah Awang Selamat kerana pernah bertugas di Utusan Melayu selama 16 tahun, saya tidak akan mendedahkan siapakah dia Awang Selamat.

Cuma yang hendak saya katakan ialah penulis pojok Awang Selamat itu merupakan orang yang paling rasis bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Tulisan beliau secara jelas memperlihatkan bahawa sifat rasis beliau dan tidak dapat menerima perubahan realiti orang Melayu sekarang yang telah berlapang dada untuk menilai secara kritis dan bukan secara membabi buta mencerna setiap perkataan untuk menaikan sifat rasis terhadap DAP.

Sebagai orang Melayu yang telah memasuki DAP atas kerelaan sendiri, tidak ada rombongan pengantin ataupun rombongan masuk meminang daripada pemimpin-pemimpin DAP agar saya memasuki parti tersebut sebaliknya saya yang menghantar rombongan meminang untuk memasuki DAP memandangkan terlalu ramai orang Melayu yang ingin memasuki parti tersebut.

Saya bernasib baik kerana Setiausaha Agung DAP, YB Lim Guan Eng sendiri yang menerima borong permohonan saya untuk memasuki parti tersebut.

Tidak ada orang Melayu yang diperkudakan di dalam DAP kerana kami semua menyedari bahawa perjuangan untuk membebaskan orang Melayu dari belenggu rasis Umno dan Utusan Melayu perlu disegerakan.

Kami orang Melayu di dalam DAP memasuki parti ini untuk membuat pendirian bahawa tidak ada tempat di Malaysia ini untuk sikap rasis yang ditunjukkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Utusan Melayu terutama penulis pojok Awang Selamat. – Roketkini.com

Tiada ulasan: