HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Januari 2012

Jual BB1M: 113 Pelajar Hadapi Tindakan UUM




ANTARA POS. COM


SINTOK: : Seramai 113 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang disyaki terbabit dengan kes penjualan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) kepada sepasang suami isteri akan dikenakan tindakan jika didapati bersalah

Naib Canselor UUM, Datuk Prof Dr Mohamed Mustafa berkata, pihaknya akan memanggil 113 pelajarnya yang disyaki terbabit untuk siasatan sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya lagi, semua pelajar terbabit yang sudah dikenal pasti identitinya dan dijangka akan dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak universiti sebaik sahaja semester baru bermula pada 18 Februari ini.

Dr Mohamed berkata, UUM kesal dengan tindakan pelajar terbabit menyalahgunakan baucar diberikan kerajaan bertujuan meringankan beban pelajar membeli buku akademik sebaliknya menjualnya kepada pihak lain.

“Kita akan panggil semua yang terbabit yang mana majoritinya pelajar lelaki sejurus tamat cuti semester ini, untuk memberi penjelasan berhubung kes berkenaan dan akan mengambil tindakan jika perlu.

Bagaimanapun, kesalahan ini tidak boleh diletakkan di atas bahu pelajar semata-mata kerana ia tidak akan berlaku jika tidak ada pihak yang menawarkan perkhidmatan membeli baucar buku berkenaan,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Kelmarin, sepasang suami isteri ditahan pihak polis kerana disyaki terbabit dengan penbelian BB1M membabitkan 113 pelajar UUM dengan harga RM180 sebagai pertukaran bagi baucar bernilai RM200, dengan RM20 adalah keuntungan suspek.

Pasangan berkenaan berusia lewat 30-an yang dikatakan memiliki kedai buku di ibu negara ditahan polis malam kelmarin selepas siasatan mendapati mereka mendalangi kegiatan yang didedahkan media sebelum ini.

Mengulas mengenai tangkapan itu, Mohamed Mustafa berkata, pihak pengurusan UUM mengesan mengenai kegiatan pasangan terbabit pada 9 Januari lalu, selepas suspek dikatakan menampal poster iklan berhubung perkhidmatan pembelian baucar berkenaan di sekitar kampus sebelum menjalankan siasatan.

Beliau berkata, pasangan suami isteri itu dikatakan menyewa di sebuah apartmen milik UUM untuk memudahkan urus niaga penjualan baucar itu dengan pelajar universiti terbabit.

“Kita sudah bertindak awal dengan melaporkan kes ini kepada bahagian keselamatan UUM untuk siasatan sebelum berjaya memberkas pasangan berkenaan dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Mustafa, berkata pihaknya menyifatkan ia adalah kes terpencil memandangkan jumlah pelajar UUM yang terbabit dengan kes berkenaan adalah terlalu kecil iaitu 113 orang, berbanding 30,000 pelajar universiti itu yang mendapat BB1M.

“Saya percaya semua pelajar terbabit menyesal dengan perbuatan mereka selepas terpedaya dengan tawaran diberikan individu yang tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bahagian keselamatan UUM pada 15 Januari lalu kira-kira jam 3 petang di dalam apartmen yang disewa mereka.

Tiada ulasan: