HALAMAN SANTAI

Selasa, 31 Januari 2012

Syarikat bermasalah diberi projek lebuh raya RM7 bil

KEADILAN DAILY


PULAU PINANG: Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menuntut penjelasan Datuk Seri Najib berhubung projek pembinaan Lebuhraya Banting-Taiping, yang diberi kepada kumpulan Europlus Bhd (Europlus).

Ini kerana katanya, syarikat itu tiada rekod dalam sektor pembinaan lebuh raya selain pemilik utamanya mempunyai sejarah permasalahan dalam projek perumahan.

“Kenapa Europlus dipilih, sedangkan mereka tiada rekod prestasi yang terbukti dalam bina-kendali-pindah (BOT) sektor lebuhraya, dan pemilik utamanya mempunyai sejarah permasalahan dalam projek perumahan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Najib juga katanya perlu menjawab persoalan mengapa syarikat itu diberi tempoh perjanjian selama 60 tahun, iaitu perjanjian terpanjang dalam sejarah Malaysia.

“Bagaimanakah Kerajaan boleh memberi tempoh perjanjian selama 60 tahun, iaitu perjanjian yang terpanjang dalam sejarah Malaysia.

“Apa rasional penganugerahan pinjaman mudah RM2.24 bilion dari tahun 2013 pada kadar faedah 4 peratus serta subsidi faedah 3 peratus untuk pinjaman komersial selama 22 tahun,” katanya lagi.

Europlus sebelum ini mengumumkan menerima surat kelulusan membina lebuhraya itu daripada Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri (JPM), melibatkan pinjaman mudah RM2.24 bilion, subsidi faedah 3 peratus untuk 22 tahun dan Geran RM980 juta untuk pengambilan tanah.

“Kenapa Kerajaan membayar RM980 juta untuk pengambilan tanah sedangkan ini projek swasta,” soal Guan Eng.

Beliau turut kesal kerana projek mega itu hanya ditamatkan di Taiping, Perak sedangkan kesesakan juga berlaku di Pulau Pinang dan Kedah.

“Jika perjanjian tol yang terbaru ini adalah alternatif kepada Lebuhraya Utara-Selatan yang sesak, kenapa berhenti di Taiping? Kenapa tidak dilanjutkan ke Kedah dan Pulau Pinang yang turut berdepan kesesakan teruk?

“Perjanjian 60 tahun yang dianugerah oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) ini bermakna beberapa generasi rakyat Malaysia terpaksa membayar tol dari generasi saya hingga ke cucu-cicit saya,” katanya.

Oleh itu, beliau menyifatkan tempoh perjanjian itu hanya menguntungkan segelintir kecil kroni elit manakala yang rugi adalah 28 juta rakyat Malaysia.

Tiada ulasan: