HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Januari 2012

Usah sembunyi di belakang undang-undang, kata Aziz kepada MB Kedah




Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari. — Gambar fail
KUALA LUMPUR – Pakar Perlembagaan, Abdul Aziz Bari menasihatkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak agar tidak berselindung di sebalik isu teknikal undang-undang apabila berdepan dengan aktivis mahasiswa tentang kebebasan akademik di Kedah.

"Menteri Besar tidak seharusnya berselindung di sebalik semua isu teknikal. Sebenarnya, terpulang kepada beliau untuk membuat keputusan.”kata bekas professor ini kepada The Malaysian Insider.

Beliau turut mengingatkan Menteri Besar Kedah itu bahawa terdapatnya undang-undang yang baik dan yang buruk, dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) terletak dalam kategori yang buruk.

"Seperti mana ISA, Akta Hasutan, dan PPPA," katanya merujuk kepada undang-undang keselamatan, percetakan dan penerbitan yang disifatkan Pakatan Rakyat sebagai undang-undang "berlebihan" dan "lapuk", yang dijanjikan mereka untuk diubah, menurut manifesto pilihan raya mereka yang kenali sebagai Buku Jingga.

Azizan, pemimpin PAS kanan, mempertahankan tindakan kolej negeri, Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menggantung lima pelajarnya di bawah AUKU pada Mei tahun lepas.

"Bagaimana beliau (Aziz) boleh menyuruh saya untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran universiti? Keduanya, perkara itu sudah di bawa ke mahkamah ... Apa nak dikecohkan lagi," kata Azizan semalam.

Abdul Aziz kembali bertelingkah lidah dengan Azizan berikutan tuduhannya terhadap Aziz yang mendakwa beliau "buta undang-undang" dan tidak berkelakuan sesuai ahli akademik.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu mendesak Azizan agar membatalkan keputusan mahkamah menggantung lima pelajar terbabit dan menjadikannya kes mahkamah akademik.

"Sebagai ilmuan syariah, menteri besar Kedah seharusnya mengetahui perkara ini. Beliau terlepas pandang berkaitan perkara itu dan seharusnya mengemukakan permohonan maaf dan membatalkan keputusan yang dibuat KUIN," jelas Abdul Aziz.

Beliau terus mengkritik Azizan kerana menggunakan dana kerajaan negeri untuk melantik peguam mewakilinya di mahkamah.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa kerajaan negeri telah melantik peguam terkemuka negara, Karpal Singh, yang juga Pengerusi DAP dan pemimpin Pakatan Rakyat, mewakili KUIN sementara penasihat undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin, akan mewakili mahasiswa berkenaan.

Abdul Aziz turut mendesak agar Azizan tidak melibatkan pemimpin politik berhubung perkara itu bagi menyelamatkan Pakatan Rakyat “daripada perkara yang bukan sahaja membazirkan wang dan tenaga, tetapi paling nyata menurunkan martabat janji mulia yang dibuat dalam dasar rangkakerja biasa."

Beliau turut mendesak Karpal agar mempertimbangkan semula keputusannya.

Malah, Aziz turut mengingatkan Karpal dan Azizan bahawa, Malaysia sudah mempunyai undang-undang yang cukup untuk mengawal mahasiswa dan mereka seharusnya tidak berterusan dalam menyokong AUKU dan undang-undang tidak adil lain, sebaliknya menunaikan janji mereka untuk pembaharuan, termasuk memansuhkan akta terbabit.

Lima mahasiswa KUIN itu dibawa berdepan jawatankuasa disiplin pada 25 Mei 2011 kerana melanggar undang-undang AUKU dengan menyertai demonstrasi, membuat ucapan menggunakan pembesar suara dan mengadakan sidang media untuk membantah tindakan menggunakan blok untuk kelas agama sebagai tempat untuk sekolah pintar.

Mohd Faiz Mohd Arshad telah digantung dua semester, dan rakan-rakannya digantung satu semester dan diberikan surat amaran.

Walaupun penggantungan tersebut sudah berlangsung sejak lapan bulan lalu, dengan empat daripada mereka telah kembali ke kampus, aktivis berkenaan mengambil keputusan untuk mencabar keputusan mahkamah tersebut.

Mohd Faiz Mohd Arshad menuntut penggantungannya ditarik balik dan rakan-rakannya menuntut ganti rugi kewangan kerana ketinggalan kelas.

Azizan telah membuat kenyataan bahawa pihaknya tidak bersetuju bahawa tindakan KUIN itu salah dan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

Tiada ulasan: