HALAMAN SANTAI

Ahad, 29 Januari 2012

Kelahiran yang melahirkan kembali kemanusiaan

Rabiulawal


Rabiulawal begitu sinonim dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Gegak gempitalah di seluruh pelosok kota dan desa dengan pelbagai acara sambutan hari keputeraan Pesuruh Allah, manusia paling agung yang pernah dilahirkan di persada dunia ini.


Penulis tidak berhasrat mempersoalkan hukum menyambut hari keputeraan baginda yang mulia. Hanya sekadar ingin mengajak sama-sama membetulkan arus perjalanan hidup kita semua, benarkah kita sedang berada di landasan yang betul, di jalan lurus atau sirat al-mustaqim yang telah digariskan baginda sallallahu alaihi wasallam mengikut ketentuan Tuhan Maha Agung yang telah mengutusnya sebagai Rasul pilihan terakhir?

Semua mengakui bahawa Rasulullah sallallahu alaihi wasallam datang membawa suatu risalah paling sempurna, paling lengkap, merangkumi seluruh aspek kehidupan sama ada yang berkait dengan masalah individu, keluarga, masyarakat, negara, hubungan antara bangsa, hubungan dengan alam sama ada alam ghaib dan alam nyata. Pendeknya tiada satu masalah pun dalam hidup ini yang tidak disentuh oleh ajaran baginda. Hal ini ditegaskan oleh Yang Maha Bijaksana dalam firman-Nya yang bermaksud:

“... Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...”

(Al-Maidah: 3)

“...Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun dalam kitab al-Quran ini; ...”

(Al-An’am: 38)

Pendeknya, kelahiran baginda bukan satu kelahiran biasa. Bukan hanya sekadar lahirnya seorang manusia untuk meramaikan bilangan ahli keluarga, atau hanya sekadar menambah bilangan umat di dunia. Sebaliknya kelahiran baginda adalah kelahiran kemanusiaan itu sendiri. Manusia seolah-olah dilahirkan semula selepas mati. Mereka dilahirkan semula ke dunia baru, dunia yang penuh kesejahteraan, keadilan, keamanan dan kemakmuran. Sebelumnya mereka berada dalam satu dunia yang penuh dengan kegelapan, kejahilan, kezliman, penindasan, kekacauan, pertelingkahan dan kerosakan. Sesungguhnya manusia tanpa hidayah iman laksana si mati yang tidak berguna dan tidak dapat berbuat apa-apa sebagaimana dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (daripada perbuatan kufur dan segala jenis maksiat).”

(Al-An’am: 122)

Baginda telah memimpin tangan manusia dan meletakkan mereka di landasan yang betul, iaitu membawa mereka kembali kepada Tuhan mereka Yang Esa, yang mencipta, memiliki, memelihara, menaungi dan memberi rezeki.

Baginda menjelaskan matlamat hidup manusia, kedudukan serta tugas mereka di atas muka bumi ini. Mereka adalah hamba, tugas mereka memakmurkan bumi dalam rangka mencapai matlamat hidup yang hakiki, iaitu mengabdikan diri kepada Allah semata-mata. Mengabdikan diri kepada Allah bukan hanya dengan melakukan ibadah secara ritual semata-mata, tetapi ibadah dalam erti kata yang lebih luas, mengabdikan diri kepada Allah dengan melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan, secara zahir dan batin.

“Kesudahannya Kami jadikan engkau (wahai Muhammad dan utuskan engkau) menjalankan satu syariat (yang cukup lengkap) dari hukum-hukum agama; maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (perkara yang benar).”

(Al-Jathiah: 18)

Baginda membimbing individu memperbaiki diri dengan menyucikan jiwa daripada sifat-sifat keji dan menghiasinya dengan sifat terpuji. Kemudian mengislahkan keluarga dengan meletakkan hak serta tanggungjawab setiap ahli keluarga dengan jelas dan terpandu. Masyarakat disusun berpaksikan persaudaraan, persamaan, keadilan, dan kebebasan. Seterusnya negara dibangunkan di atas landasan syura, melaksanakan amanah dan pertanggungjawaban setiap individu; pemerintah dan rakyat di hadapan Allah ‘Azza wa Jalla di akhirat kelak.

Di mana umat pada hari ini berbanding apa yang dibawa oleh baginda?

Setiap hari berita mengenai pelbagai jenis jenayah memenuhi setiap halaman akhbar, menggambarkan moral umat yang tenat, walhal baginda diutus untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak.

Perceraian meningkat, penderaan wanita dan kanak-kanak, derhaka kepada ibu bapa merupakan fenomena yang kian meluas meresap ke dalam stuktur keluarga Muslim, walhal baginda sangat prihatin terhadap pembinaan keluarga yang sejahtera.

Masyarakat kehilangan hala tuju yang jelas, kemungkaran digembar-gemburkan, orang-orang fasik dijulang, yang soleh dipinggirkan.

Rasuah, salah guna kuasa, politik wang, fitnah memfitnah menjadi mainan semua lapisan.

Semua itu berpunca daripada tidak menghayati ajaran Nabi sallallahu alaihi wasallam, tidak menjadikan baginda sebagai contoh yang diikuti, tidak mengambil al-Quran dan as-Sunnah sebagai panduan yang sentiasa dituruti.

Justeru, sempena Rabiulawal yang sedang menjengah kini, marilah sama-sama kita menanamkan azam dengan sepenuh hati untuk kembali kepada ajaran Nabi sallallahu alaihi wasallam Jadikan kitab suci al-Quran dan as-Sunnah yang baginda tinggalkan sebagai rujukan dan panduan yang satu-satunya bagi menyelesaikan semua masalah yang melanda umat ketika ini dan pada bila-bila masa.

Tiada ulasan: