HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

Selangor Negeri Berkebajikan: Temberang Pembangkang, kata ADUN Umno



ANTARA POS.COM


SHAH ALAM- Dari rumah urut hingga ke rumah kos rendah hingga ke masalah sampah ternyata slogan kononnya Selangor negeri berkebajikan hanyalah temberang semata-mata.

Malah selepas tiga tahun Pilihan Raya Umum (PRU) 12 berlalu banyak lagi janji-janji pembangkang yang belum ditunaikan seperti elaun warga emas, elaun kanak-kanak tadika, nursery, elaun suri rumah sepenuh masa, turun cukai pintu dan pelbagai lagi janji yang ditaburkan.

Mengulas perkara tersebut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata pembangkang sememangnya tidak tahu malu kerana terus membuat janji-janji baru sedangkan janji tiga tahun lepas pun mereka tidak mampu tunaikan.

“Kita lihat, dua tahun lalu Kerajaan Negeri mengumumkan pemberian subsidi air kepada rakyat namun sehingga kini hanya 35 ribu rumah yang mendapat subsidi tersebut. Kerajaan negeri masih berhutang subsidi air kepada 350,000 rumah lagi,” kata beliau kepada Umno-online.

“Sudah dua tahun perkara ini tertunggak. Mengapa ia tertunggak? Jawapannya adalah kerana Kerajaan Negeri tidak mempunyai kemampuan untuk melaksanakan janji mereka ini. Mereka tidak mampu,” tambahnya. .

“Kita lihat pula isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu isu sampah. Mengapa Kerajaan Negeri memecat dan menyingkirkan Alam Flora Sdn Bhd (AFSB) yang ternyata mempunyai kredibiliti untuk menjalankan tugas-tugas mengutip sampah.

“Ini kerana mereka sudah terikat dengan janji-janji kepada kroni mereka. Dahulu mereka menjanjikan pelbagai projek dan kini mereka terpaksa memberikan projek mengutip sampah kepada kroni mereka walaupun sedar kontraktor baru dilantik oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Selangor itu tidak mampu untuk melaksanakan amanah yang diberi,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan Kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan melebihi RM500 juta setahun bagi menyelenggara kos pembersihan dan sisa pepejal.

Jelasnya dengan menamatkan perkhidmatan AFSB dan melantik kontraktor-kontraktor baru, tidak mustahil peruntukan ini ‘dicuri’ dan disalahgunakan.

“Saya tidak menuduh tetapi berkemungkinan kerana mustahil dengan kos yang sebanyak itu masalah sampah tidak mampu diselesaikan,” tambahnya lagi.
Tambah Isa lagi, ini belum dikira janji pembinaan rumah kos rendah untuk rakyat Selangor yang masih tidak nampak hala tujunya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Hulu Selangor berkata jelas dan terbukti, pakatan pembangkang tidak mempedulikan nasib rakyat kerana mereka hanya gilakan kuasa.

“Bila mereka telah mendapat kuasa, janji mereka hanya tinggal janji. Yang merana dan tersiksa adalah rakyat,” tambah beliau. .

Tiada ulasan: