HALAMAN SANTAI

Sabtu, 28 Januari 2012

PAS lancar borang tanah, bantu selesai isu hak milik


Harakahdaily,

KUALA LUMPUR:
Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat buat pertama kalinya akan melancarkan Borang Tanah sebagai usaha membantu rakyat dalam menyelesaikan isu hak milik tanah.

Majlis pelancaran tersebut akan diadakan pada 4 Februari ini di Simpang Renggam yang akan disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah dan Wilayah PAS Pusat, Mazlan Aliman ketika memberitahu perkara itu berkata, untuk permulaan, program itu akan mensasarkan negeri Johor sebelum diperluas ke seluruh negara.

"Lajnah Tanah terima banyak aduan berhubung isu hak milik tanah. Sehingga kini tidak ada mekanisma yang boleh atasi masalah ini.

"Jadi kita cuba ambil pendekatan dengan lancar borang tanah," katanya kepada Harakahdaily.

Borang tanah tersebut menurut Mazlan, berupa kaji selidik kepada mereka yang menghadapi masalah tersebut.

Pengadu ujarnya boleh mengisi borang tersebut dengan memberi maklumat terperinci berhubung lot tanah, keluasan dan aduan yang mahu diutarakan.

"Selepas kita kumpul borang dan maklumat pengadu-pengadu ini semua, kita akan bawa kepada pejabat tanah.

"Kalau perlu lantik peguam, kita akan usahakan," tegasnya.

Sebelum ini kata beliau, banyak kes yang telah dipanjangkan ke pejabat tanah peringkat daerah mahupun negeri, namun ia nampaknya sulit dan semacam sukar untuk diselesaikan.

Sehubungan itu, dengan pendekatan terbaru ini, beliau harap dapat membantu mereka-mereka yang terlibat untuk mengetengahkan isu ini secara besar-besaran agar dapat membuka mata pihak bertanggungjawab.

"Ini mekanisma PAS untuk bantu rakyat.

"Sama ada Melayu, Cina, India atau Orang Asal, kita tetap akan bantu mereka," katanya.

Tiada ulasan: