ANTARA POS.COM
SHAH ALAM : Presiden Jati Datuk Dr Hasan Ali menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memperalatkan nama pemimpin Palestin dan ulama terkemuka untuk mempertahankan kenyataannya bersabit pengiktirafan Israel.
Beliau juga mahukan Anwar memohon maaf kepada seluruh umat Islam di Malaysia, Palestin dan masyarakat dunia terhadap kenyataan pro-Israel yang dinafikan oleh Timbalan Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr Mousa Abu Marzook, semalam.
"Anwar perlu memohon maaf kepada umat Islam kerana kenyataan menyokong keselamatan Israel telah dinafikan oleh pemimpin Hamas hari ini.
"Ini kerana Dr Mousa menegaskan bahawa Hamas sama sekali tidak akan mengiktiraf Israel kerana bagi Hamas negara itu tidak sah kewujudannya di muka bumi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Anwar telah memutar belit kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini semata-mata untuk mencapai tujuan politik.
Hasan mendesak Anwar berhenti menggunakan nama pimpinan Palestin dan ulama terkemuka untuk mempertahankan pendirian beliau dalam isu ini.
Hasan , Anwar juga perlu menarik balik kenyataan beliau yang menyokong usaha mempertahankan keselamatan Israel.
Menurutnya, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat digesa membawa semula isu ini untuk dibincangkan dalam Majlis Syura Ulamak Pas bagi dinilai dalam perspektif yang lebih sahih.
Sebelum ini, Anwar telah mengadakan pertemuan dengan Nik Aziz bagi menerangkan kenyataan beliau yang sebenar dalam isu ini dan Menteri Besar Kelantan itu memberitahu memahami penjelasan yang diberikan.
Hasan berkata, masih ada pimpinan Pas termasuk Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai butir-butir pertemuan tersebut sebelum membuat apa-apa kenyataan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan