HALAMAN SANTAI

Khamis, 22 Mac 2012

Kesatuan serah Pakatan memo desak batal kerjasama MAS-AirAsia

SINAR HARIAN

KUALA LUMPUR - Kumpuan lapan kesatuan dan persatuan mewakili pekerja Malaysia Airlines (MAS) hari ini menyerahkan memorandum, yang sebelum ini dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada Pakatan Rakyat (PR).

Memorandum setebal 17 muka surat itu menggariskan keluhan pekerja-pekerja MAS dan masalah yang timbul akibat perjanjian kerjasama MAS-AirAsia.

Setiausaha Malaysia Airlines System Employee Union, Peninsular Malaysia (Maseu), Ab Malik Ariff berkata, pihaknya mengemukakan memorandum itu agar ia turut dipanjangkan kepada ahli Parlimen PR, untuk diserahkan kepada semua wakil rakyat.

"Kami tidak gembira dengan penggabungan ini. Kita minta masalah yang timbul ini dibincangkan di Parlimen, sekali gus mendesak kerajaan membatalkan pertukaran saham dan menghentikan kerjasama itu. Kami mendapati terdapat taktik kotor pihak AirAsia menggunakan MAS melalui penggabungan ini.

"Hal ini bukan sahaja merugikan MAS tetapi ribuan pekerja MAS juga berada dalam keadaan yang bimbang dan rasa tidak selamat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen semalam.

Memorandum diserahkan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Saifuddin Nasution, masing-masing wakil rakyat dari Pas dan MAS.

Menurut Ab Malik, pihaknya menggesa kerajaan, terutama Najib sebagai Pengerusi Khazanah campur tangan menghentikan usaha sama itu.

Kumpulan kesatuan dan persatuan itu mempunyai keahlian seramai 20,600 orang.

Dalam memorandum itu turut memberitahu pihak pengurusan telah mengarahkan pekerja-pekerja MAS agar meletakkan jawatan sebagai pekerja syarikat itu dan memohon pekerjaan semula di unit-unit dan anak syarikat MAS yang akan ditubuhkan.

Bagaimanapun, menurut Ab Malik, rata-rata mereka tidak mahu berbuat demikian kerana percaya berlaku perkara kotor yang cuba dilakukan AirAsia.

"Baru beberapa bulan usaha sama ini, kami dapati telah ramai pekerja-pekerja AirAsia dibawa masuk, dan kami khuatir ini salah satu usaha untuk mengurangkan dan menyingkirkan pekerja-pekerja MAS.

"Malaysia Airlines Business Plan yang diumumkan oleh pihak pengurusan sebelum ini lansung tiada ciri-ciri menyelamatkan pekerja MAS seperti yang diperkatakan Pengerusi MAS, Tan Sri Mohd Noor Yusof," katanya.

Tambah beliau, persepsi para pekerja bahawa AirAsia sedang menguruskan pentadbiran MAS adalah satu kenyataan, bukannya andaian lagi dan kerajaan perlu mengambil langkah segera untuk membetulkan perkara itu.

Memorandum itu juga mendakwa apa yang berlaku dalam MAS hari ini adalah kelemahan dan kesilapan pihak Khazanah.

Selain itu, pihak kesatuan turut menggesa satu juruaudit bebas dibentuk bagi mengaudit akaun-akaun MAS bagi tahun kewangan 2011 dan mewujudkan Lembaga Pengarah dan Pengurusan tertinggi MAS yang bebas daripada pengaruh Air Asia.

6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

nampaknya kerjasama antara MAS-Airasia mendapat bantahan, harap ia dpt diselesaikan.

Bujang Senang berkata...

Seperti MAS dan AIRASIA telah merancang perkara ini dari awal lagi. Maka perkara ini perlulah disiasat.

Tanpa Nama berkata...

Memorandum itu juga mendakwa apa yang berlaku dalam MAS hari ini adalah kelemahan dan kesilapan pihak Khazanah.

Orang2 Khazanah kaya raya, MAS pula rugi berturut-turut.

Tanpa Nama berkata...

Kerjasama MAS-AirAsia mungkin perlu dirombak semula dan memastikan pekerjaan pekerja2 yang ada sekarang terjamin.

evan medhousky berkata...

kasi batal saja kerjasama MAS-Airasia.. untuk apa diteruskan jika kerjasama itu lebih banyak memperlihatkan kepincangan dari kebaikkan..

evan medhousky berkata...

eloklah jika kedua2 syarikat penerbangan ini kekal bersaing seperti sebelum ini..