HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mac 2012

Khalid nafi tidak prihatin pelajar Yayasan Selangor

Langkah komprehensif kerajaan negeri adalah merancang pembangunan di atas tanah berkenaan berasaskan Nilai Pembangunan Kasar (GDV).


SEKITAR DUN S’GOR


SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak prihatin ke atas para pelajar berhubung perobohan dua asrama milik Yayasan Selangor (YS) apabila tanah itu dicadangkan untuk pembangunan bercampur (komersil,kediaman dan hotel).

Abdul Khalid menjelaskan tidak timbul soal itu memandangkan pelbagai kajian telah dilakukan beberapa tahun lalu dan mendapati para pelajar mengalami kesukaran untuk berulang-alik dari asrama selain kerajaan negeri turut berhasrat untuk meningkatkan jumlah pelajar.

Beliau berkata bagi merealisasikan impian tersebut, kerajaan negeri perlu berusaha untuk membina asrama sendiri.

Langkah komprehensif kerajaan negeri adalah merancang pembangunan di atas tanah berkenaan berasaskan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dijayakan dalam jangka masa panjang dengan mengambil kira keuntungan berlipat kali ganda.

“Soal tidak prihatin dengan nasib pelajar tidak timbul. Perlu kita lihat bagaimana perancangan masa depan, setiap tahun kita menjemput mereka yang menjadi ahli ke Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bagi melihat perkembangan yang dilakukan oleh Yayasan Selangor (YS). Akaun YS juga dibentangkan dan diaudit serta perancangan masa depan untuk YS.

“Kita bukan tidak efisien, salah satu usaha yang kita lakukan berjumpa dengan sekolah-sekolah dan menyewakan penempatan. Bukan turun naik bas setiap hari dalam keadaan yang tidak memuaskan,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (BN-Paya Jaras).

Jana sumber kewangan

Laporan sebelum ini menyatakan bahawa tanah seluas 7.5 ekar yang menempatkan Asrama Tun Dr. Ismail dan Asrama Toh Puan Norashikin akan dibangunkan untuk cadangan pembangunan bercampur (komersil, kediaman dan hotel) di lot 544 dan 545.

Pembangunan itu bertujuan untuk menjana sumber kewangan bagi pembangunan untuk projek jangka masa yang lebih terancang.

Tambahnya, keputusan menempatkan pelajar ke kawasan luar bandar itu juga dilihat berdasarkan keputusan penilaian pelajar YS lebih baik contohnya di Sabak Bernam dan Kuala Kubu Bharu.

“Dengan wujudnya cadangan ini, penambahan pelajar akan dapat dilaksanakan berbanding dengan tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia yang menghadkan hanya lima pelajar kerana memberi peluang kepada pelajar bandar sahaja.

“Maka dengan itu, kita mempersoalkan apabila hanya 1,500 pelajar dibantu sedangkan kita patut tingkatkan dua kali ganda jumlah pelajar kerana peluang perlu diberikan kepada ramai pelajar yang memerlukan sokongan dan bantuan,” katanya yang juga Adun Ijok.

Tiada ulasan: