HALAMAN SANTAI

Isnin, 5 Mac 2012

Lynas: Dangkal percayai Najib kes Bukit Merah

Harakahdaily,


TEMERLOH:
Rakyat terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak yang mengumumkan sisa buangan Lynas yang mengandungi radioaktif akan dibuang jauh dari kawasan penempatan penduduk, tetapi masih dalam negara sedangkan lesen operasi sementara telahpun dikeluarkan.

“Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa keadaan ini berlaku kerana bukan setelah lesen dikeluarkan barulah kita terhegeh-hegeh tapak pelupusan baru nak dikenal pasti.

"Ini ditambah pula dengan kekeliruan kerana bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan Dato Seri Liow Tiong Lai yang meminta syarikat Lynas di Malaysia diarah menghantar sisa-sisa nadir bumi balik ke Australia selepas diproses di kilangnya di Kuantan,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Liow berkata kabinet telah bersetuju dengan cadangan empat menteri supaya sisa dari loji nadir bumi Lynas dihantar pulang ke Australia. Sebelum ini kerajaan Australia telah menolak permohonan tersebut. Mereka tak nak cari ‘mampuih’ nak membawa pulang sisa radioaktif ke negerinya.

Mengenai keengganan Australia untuk menerima sisa tersebut, Liow sekali lagi menolak isu itu kepada Lynas, dengan mengatakan ia adalah masalah yang perlu diuruskan oleh syarikat Australia tersebut.

Menteri Perlombongan dan Petroleum Australia, Norman Moore berkata Australia tidak menyokong pengimportan dan penyimpanan sisa radioaktif dari negara-negara lain pada April lepas.

Walaupun Liow menyatakan bahawa keputusan itu ialah keputusan kabinet, tetapi Najib tetiba pula pada 2 Mac mengumumkan bahawa sisa buangan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, akan dipindahkan ke lokasi lain di Malaysia yang jauh dari penempatan penduduk.

Najib berkata, kerajaan masih menimbang lokasi bagi sisa buangan yang akan dipindahkan itu dan akan diumumkan kelak dan menolak tanggapan bahawa keputusan itu dibuat hasil daripada desakan pembangkang yang cuba mengeksploitasi isu berkenaan.

"Kita nak rakyat rasa selamat," katanya.

Kenyataan PM, kata Tuan Ibrahim langsung tidak meyakinkan kerana isu sisa kilang rare earth di Bukit Merah, Perak sehingga kini masih belum diurus dengan baik. Masih terdapat sekurang-kurangnya 3000 tong sisa yang masih belum diurus dan tapak sisa lama tidak diselenggara dengan baik sebagaimana yang dijanjikan.

Berlatarbelakangkan ini, kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu, adalah dangkal untuk meminta rakyat mempercayai kenyataan PM yang berkata kilang Lynas adalah selamat.

“Kenyataan PM tidak lebih hanya sekadar meredakan kemarahan rakyat dan kata dua rakyat, samada tutup kilang Lynas atau sedia dihukum di PRU akan datang,” kata Tuan Ibrahim.

Tambah beliau, PAS menegaskan bahawa hasrat rakyat ialah agar kerajaan mendesak Australia menerima semula sisa buangan yang dianggap tidak mendatangkan bahaya ini.

“Kalaulah pelbagai insentif boleh disediakan oleh kerajaan kepada syarikat Lynas dari Australia itu untuk beroperasi di Gebeng seperti menyediakan kawasan seluas 200 ekar, pelepasan cukai 12 tahun serta pelbagai kemudahan lain, apakah Australia tidak sanggup untuk menerima semula sisa buangan yang tidak mendatangkan sebarang bahaya ini? Tambahan pula benua Australia mempunyai ribuan hektar kawasan tanpa penghuni jika dibandingkan dengan Malaysia,” sindir Tuan Ibrahim.

Kerajaan, katanya perlu bertegas bagi membuktikan bahawa sisa tersebut tidak mendatangkan apa- apa bahaya kepada kemanusiaan dan alam sekitar dengan membuat desakan tersebut.

“PAS ingin menegaskan bahawa dimana sahaja sisa tersebut akan dibuang di negara ini, PAS akan bersama rakyat bangkit menentangnya habis-habisan,” tegas Tuan Ibrahim.

Tiada ulasan: