HALAMAN SANTAI

Ahad, 4 Mac 2012

Majoriti Dua Pertiga : Khalid "Syok Sendiri", Kata BN

Post Pic

ANTARA POS.COM


SHAH ALAM : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hanya "syok sendiri" apabila meramalkan Pakatan Rakyat akan mudah menawan Selangor dengan majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum akan datang, kata pemimpin-pemimpin Barisan Nasional(BN) negeri itu.
Mantan Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo dan Adun Kuala Kubu Baru, Wong Kun Mun berkata kegagalan Khalid menunaikan janji pada pilihanraya lalu serta rekod perkhidmatan buruk Ahli-ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan akan membawa padah kepada PR pada PRU 13.
"Mereka tidak melaksanakan janji-janji mereka. Saya tak rasa rakyat Selangor boleh ditipu buat kali kedua.
"Rakyat mula bertanya janji-janji pilihan raya yang lepas dan kesungguhan yang dilakukan Khalid Ibrahim untuk menunaikannya. Saya rasa rakyat telah mula sedar bahawa mereka telah ditipu dan PR telah mengambil kesempatan keatas mereka dengan tidak menunaikan janji pilihan raya lepas," kata Khir kepada Antarapos.com.
Antara janji PR yang tidak ditunaikan ialah elaun RM75 sebulan untuk menghantar anak ke pusat asuhan, RM50 sebulan untuk bantuan kanak-kanak pra sekolah, RM600 sebulan untuk ibu tunggal.

Dalam wawancara yang hanya diberikan kepada media terpilih, Khalid mendakwa PR tidak bermasalah mengekalkan kuasa di Selangor malah akan dapat menambah kerusi sehingga mendapatkan majoriti dua pertiga.
"Bancian yang kami terima menunjukkan bahawa Pakatan Rakyat mampu menang lebih banyak kerusi daripada apa yang kita ada sekarang, ini bermakna kita boleh dapat majoriti dua pertiga," Khalid dipetik berkata.
Bagaimanapun keyakinan itu dipersoalkan kerana pengumuman Khalid sebelum ini bahawa pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika pilihanraya umum dipanggil tahun ini.
Penganalisis berkata keputusan itu mencerminkan Khalid dan pimpinan Parti Keadilan Rakyat bimbang arus politik tidak menyebelahi mereka jika pilihanraya DUN diadakan serentak dengan Parlimen tahun ini.
Khir berkata kepimpinan Datuk Seri Najib Razak mampu membolehkan BN menawan semula Selangor, dengan syarat beban hidup rakyat terus diberikan perhatian.
"InsyaAllah, saya ingat dengan strategi yang tepat dan betul dalam dua, tiga bulan ini untuk memenuhi kehendak rakyat seperti mana mengurangkan caj tol yang dibuat oleh Perdana Menteri, Najib Razak baru-baru ini, serta bebanan rakyat dapat dikurangkan, saya yakin BN ada harapan untuk mengambil semula negeri Selangor," kata beliau.
Wong menyifatkan Khalid sebagai Menteri Besar yang cakap tak serupa bikin.
"Ini Menteri Besar selalu cakap syok sendiri dan kemudian tidak mengaku dia membuat kenyataan seperti itu. Contohnya, semasa dia ambil alih Selangor dia cakap BN tak pandai urus tadbir pasir dan dia janji dapat kutip RM150 juta hasil penjualan pasir Selangor setiap tahun. Tapi kita tengok tidak ada," kata beliau.
"Rakyat sekarang ini nak tengok realitinya, kalau sekadar cakap semua boleh cakap...saya pun boleh cakap tapi mana faktanya," ujar beliau.

Wong berkata keenggan Khalid untuk membubarkan DUN jika pilihanraya umum diadakan tahun ini mencerminkan kesangsian beliau terhadap peluang PR mendapatkan sokongan rakyat.

"Kalau dia berani cakap boleh menang Selangor mengapa dia tak bubar bersama dengan Kerajaan Pusat? Dia kena sahut cabaran, bila kerajaan pusat cakap nak bubar Parlimen bubarlah Selangor. Kalau dia yakin boleh menang kenapa nak tunggu lagi, tak perlu tunggu. Bubar bersama Parlimen dan dia boleh rampas dua pertiga baru dikatakan berani.
Wong berkata Khalid silap membaca citarasa penduduk Selangor terhadap pemerintahan Pakatan Rakyat.
"Rakyat diam tidak semestinya mereka sokong (PR), mereka diam kerana mereka dulu telah beri peluang kepada PR untuk perintah Selangor tetapi hari ini rakyat telah mula sedar dan faham apa yang dibuat PR semuanya sandiwara, tambah beliau.
"Contohnya di zaman kami(BN) ahli majlis mengambil elaun yang rendah tetapi kita masih berkhidmat dengan rakyat untuk pelbagai isu seperti isu infrastruktur di luar bandar. Tetapi hari ini, walaupun ahli majlis PR mendapat elaun beribu-ribu setiap bulan tetapi kita tak nampak mereka turun padang, bersama rakyat," jelas beliau.
"Rakyat sudah mula bosan kerana rakyat pilih PR untuk mentadbir dengan baik, tetapi sehingga hari ini mereka nampak yang ada hanya pergaduhan dan hipokrit politik saja," ujar ADUN daripada MCA itu.

Tiada ulasan: