ANTARA POS.COM
TANJUNG KARANG : Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar mencabar Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat untuk mendedahkan sumber kewangan yang diperolehi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Noh berkata, pimpinan negeri yang diterajui PKR yang kononnya telus dalam pengurusan perlu menjelaskan bagaimana simpanan tunai PKPS meningkat dari RM8.3 juta pada 2008 kepada RM114 juta tahun lalu.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu turut mempersoalkan kenyataan Kerajaan Negeri menerusi laporan akhbar Selangor Kini terbitan semalam, yang mendakwa kenaikan prestasi kewangan PKPS hasil kecekapan pengurusan kerajaan negeri itu.
Noh berkata beliau difahamkan hasil itu sebenarnya meningkat daripada penjualan tanah PKPS seluas 12,000 hektar kepada sebuah syarikat semasa pemerintahan BN, yang transaksi jual beli itu selesai pada 2010 dengan nilai RM97 juta.
"Adakah dengan mendapat hasil jualan tanah boleh dikatakan kerajaan Selangor sebuah kerajaan yang cekap?," katanya.
Beliau sebelum itu merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Tiram Jaya di Tanjung Karang, semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan