HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mac 2012

Runding selepas dibantah, 1Care seperti SBPA

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR : Cadangan pelaksanaan skim kesihatan 1Care tidak ubah seperti SBPA yang hanya melibatkan rundingan dengan rakyat selepas ia mendapat bantahan.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah menegaskan perkara itu dalam maklumbalasnya terhadap kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berjanji untuk mengadakan sesi penerangan seluruh negara tentang skim itu.

“Amat mengejutkan Menteri Kesihatan hanya bercakap tentang menjelaskan dan mendengar pandangan rakyat sekarang, selepas 1Care mendapat tentangan daripada rakyat.

“Seperti pengumuman BN yang lain contohnya SBPA, proses perundingan nampaknya dilakukan selepas mendapat kritikan rakyat,” kata Wan Azizah.

Bercakap lanjut, Wan Azizah turut menggesa Kementerian Kesihatan untuk mempertimbangkan pemenambahbaikan sistem kesihatan sedia ada seperti dicadang KEADILAN sebelum ini.

Menurutnya, memperkenalkan 1Care tanpa mengatasi ketidakcekapan kesihatan sedia ada hanya membuka ruang kepada rasuah yang membebankan sistem kesihatan negara.

“Perbelanjaan kesihatan kerajaan sebanyak 2.2 peratus daripada (Keluaran Dalam Negara Kasar) KDNK pada 2008 lebih rendah berbanding cadangan WHO sebanyak 5 hingga 6 peratus.

“WHO juga menganggarkan bahawa 20 hingga 40 peratus perbelanjaan kesihatan kerajaan dibazirkan kerana ketidakcekapan dan rasuah.

“Ini termasuklah penswastaan stor perubatan kerajaan, hospital-hospital universiti, jabatan kardiologi dan perkhidmatan sokongan hospital yang meningkatkan kos tanpa meningkatkan kecekapan,” katanya.

Sebelum ini Dr Wan Azizah dilaporkan berkata memperbaiki sistem kesihatan sedia ada di dalam negara adalah lebih baik berbanding sistem kesihatan nasional 1Care seperti dicadangkan kerajaan.

Ini kerana katanya, melalui skim 1Care, 10 peratus dari pendapatan rakyat terpaksa dipotong sedangkan penyelesaian terbaik adalah meningkatkan peratusan perbelanjaan untuk infrastruktur asas kesihatan.

Menurutnya, WHO mengesyorkan perbelanjaan kesihatan kerajaan kepada peratusan KDNK sepatutnya antara lima hingga enam peratus.

Sedangkan perbelanjaan kesihatan Malaysia pada 2008 ialah 4.8 peratus sementara perbelanjaan kerajaan pula hanya 2.2 peratus.

Tiada ulasan: