HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Mac 2012

Sampai bila rakyat T'ganu bergantung pada kerajaan

Salmiyah Harun,



KAJANG:
Kebergantungan rakyat Terengganu kepada kerajaan untuk mendapat imbuhan sangat tinggi, antara faktor menyebabkan lanskap politik negeri itu berubah setiap kali pilihan raya umum.

Demikian tegas, Prof Datuk Muhammad Abu Bakar dan menegaskan faktor itulah yang harus diubah oleh PAS jika mahu terus kekal memerintah negeri itu.

"Sampai bila orang Terengganu tergantung pada imbuhan atau habuan kerajaan misalnya wang ehsan, wang RM300 untuk anak sekolah, wang RM500 untuk pelajar masuk universiti. Inilah yang sukar untuk diubah," katanya.

Beliau yang juga bekas pensyarah di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, berkata, jika sikap ini berjaya diubah kepada individu yang berdikari mereka lebih berani dan akan bebas berfikir tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Misalnya, kata beliau situasi ini sudah tidak berlaku di Johor di mana kerajaan tidak perlu lagi bergantung kepada anak-anak Bugis atau Jawa malah anak jati negeri itu sendiri semakin kurang bergantung kepada kerajaan.

Muhammad Abu Bakar turut menyokong pendekatan 'keras' yang digunakan sesetengah individu diterjemahkan kepada rakyat negeri itu untuk menyedarkan bahawa mereka perlu mengubah lanskap politik negerinya.

"Saya kira apa yang diketengahkan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam siri ceramahnya, misalnya beliau ada sebut 'bodoh macam lembu'.

"Sudah sampai masanya kena 'ketuk sekeras-kerasnya', pendekatan seperti ini perlu, dan saya menyokong. Ketukan itu bukan untuk siapa hanya untuk Islam," katanya dalam dalam majlis Anak Terengganu di Perantauan.

Dalam beberapa kajiannya, Muhammad Abu Bakar berkata, keadaan geografi negeri Terengganu di mana pembahagian daerah yang berjauhan sukar untuk menyatukan fikrah antara satu sama lain.

Jelasnya, keadaan Terengganu yang jauh perlu ada penyeragaman untuk melewati batas-batas supaya idea manifesto diterima semua pihak di daerah itu.

"Setiap daerah perlu ada pusat-pusat Islam, kalau ini berlaku keadaan sebelum ini barangkali tidak berulang. Menang sahaja tanpa kekalkan kemenangan adalah satu malapetaka," katanya.

Tiada ulasan: