DEBAT SINAR: DEMONSTRASI JALANAN MERUNTUH ATAU MENGUKUH DEMOKRASI
"Kita patut galakkan, kita patut memberi ruang kepada debat-debat seperti ini, termasuk Debat Sinar yang dianjurkan oleh Kumpulan Media Karangkraf," kata Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian, Datuk Abd. Jalil Ali.
Selepas Debat Sinar berkenaan isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bulan lalu, Sinar Harian akan membawa Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pada debat yang bertemakan "Demonstrasi Jalanan: Meruntuh atau Mengukuh Demokrasi" pada 19 Jun ini. Ia akan berlangsung di Auditorium Kompleks Media Karangkraf mulai jam 9 malam.
Kedua-dua mereka merupakan ahli Parlimen.
Debat Sinar mengenai isu PTPTN menemukan Ketua Pemuda BN, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli.
Sambil menekankan bahawa debat itu berjalan dengan lancar dan menarik banyak pihak, Abd Jalil berkata, sementara Malaysia menuju negara maju dan semakin terbuka, semua pihak harus menggalakkan usaha-usaha seperti ini.
"Kita jangan mengambil sikap tertutup. Kita wajar mengadakan debat seperti ini kerana ia akan memberi peluang untuk membicarakan isu dengan terbuka. Debat itu sendiri sifatnya ada perbezaan pandangan dan pendirian, dan disebabkan perbezaan pandangan ini, kita tidak harus mengambil langkah mengetepikan usaha membincangkan isu-isu yang menjadi perhatian," katanya.
Dalam satu pandangan kepada Sinar Harian yang disiarkan hari ini, Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, debat politik matang bukan sahaja dinilai dengan hebatnya hujah dan fakta yang disampaikan pendebat, malah reaksi penonton terhadap pentas perdebatan juga memainkan peranan.
Justeru katanya, perlu bagi penonton beretika dan bijak mengawal emosi supaya tidak menjadi terlalu emosional ketika mendengar pandangan dan hujah yang dikemukakan.
“Berlainan dengan konsep debat di luar negara yang bersifat natural, penonton mempunyai etika mendengar hujah dikemukakan oleh pendebat dengan tenang. Dengan cara itu, pendebat tidak terganggu untuk menyatakan hujah, pandangan dan fakta yang bernas,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan