DETIK DAILY
Tanggal 23 Jun adalah tarikh pemergian mujahid ulung itu buat selama-lamanya meninggalkan pejuang-pejuang yang telah ditarbiyah untuk terus menongkah arus menentang kezaliman sang pemerintah, katanya.
"Tanggal tarikh 23 Jun, pasti saya terkenang pulangnya sahabat saya, almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor ke sisi Allah SWT," katanya lagi.
Menurutnya, almarhum merupakan sahabat sejati semenjak dari zaman Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) lagi.
Ujar Anwar, pada tahun 1998, almarhum setia membela beliau serta keluarga yang difitnah dan ditohmah dengan tuduhan yang mengaibkan.
Kata Anwar, ketika beliau ditahan di Kamunting selama dua tahun ekoran demonstrasi besar besaran membela nasib rakyat miskin di Baling, Ustaz Fadzil terpaksa memikul tanggungjawab memangku tugas sebagai Presiden Abim.
Kata beliau lagi, tujuh hari selepas ditahan, pada 27 September 1998, almarhum bersama Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan sahabat seperjuangan yang lain menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat (GERAK).
Permuafakatan ini terdiri dari pelbagai parti politik dan gerakan massa demi membawa Perubahan serta menentang kezaliman Umno- BN, katanya.
"Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Allah SWT moga ruh almarhum dilimpahi kerahmatan dan ditempatkan di sisi mereka yang soleh," kata Anwar.
Almarhum Ustaz Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi.
Jenazah almarhum disemadikan di madrasah tempat kelahiran beliau di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah sesuai dengan wasiat beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan