HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Jun 2012

PM: Kartunis disaran terap mesej 1 Malaysia dalam karya

 



KUALA LUMPUR — Datuk Seri Najib Razak hari ini menyarankan agar setiap kartunis di negara ini menerapkan unsur Gagasan 1 Malaysia dan Program Transformasi kerajaan dalam setiap karya mereka.

Perdana menteri berkata, kartunis juga bukan hanya sekadar memainkan peranan dalam bidang hiburan, sebaliknya mereka perlu menyampaikan mesej tertentu dalam karya mereka melalui cerita yang cuba disampaikan.

“Terutamanya bila saya ungkap Gagasan 1 Malaysia, saya mahu kartunis dapat menerapkan mesej 1 Malaysia melalui karya dan juga dasar transformasi negara.

“Ia boleh diterapkan melalui karya kartunis dan animasi,” katanya dalam perhimpunan yang menempat sejumlah 356 kartunis tempatan.

Najib turut menegaskan, antara contoh yang boleh diberi perhatian dalam karya kartunis adalah kehidupan multi etnik di negara ini.

“Kita lihat karya seperti Kampung Boy, karya hasil Datuk Lat, atau Datuk Mohd Nor Khalid, yang memaparkan kepelbagaian etnik dalam karyanya.

“Dalam kita memperjuangkan pengertian falsafah 1 Malaysia, setiap individu dan setiap pihak adalah komponen pelengkap termasuk kartunis, komikus, dan juru animasi,” kata Najib sewaktu memberikan ucapan dalam program “Anda, PM, dan Kartunis” di sini yang turut dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Record sebagai perhimpunan terbesar perdana menteri bersama kartunis.

Menurut Najib lagi, kerajaan juga bersedia untuk menghulurkan dana kepada kumpulan penggiat kartunis, komikus, dan animator negara ini bagi membentuk Yayasan Penggiat Kartun 1 Malaysia.

“Saya tertarik hati dengan cadangan penubuhan Yayasan Penggiat Kartun 1 Malaysia, yang mana  Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim akan memberi caruman dana permulaan sebanyak RM300,000.
“Kalau perlu, kerajaan boleh tambah peruntukan lagi,” katanya lagi.

Pentadbiran Najib sebelum ini juga telah mula menggunakan kaedah komik dalam memberikan kefahaman terhadap transformasi yang dilaungkannya melalui buku  “Transformasi Najib.”

Buku komik yang dihasilkan oleh Akmar Hisham Mokhles itu turut dilihat diedar secara percuma dalam setiap program-program anjuran kerajaan Barisan Nasional (BN).

Komik dengan 109 muka surat berkenaan yang telah dicetak ulang sebanyak 10 kali itu turut memaparkan sejarah Najib sejarah ringkas, dan perjalanan Presiden Umno itu sejak kecil hingga ke saat menjadi perdana menteri.

Malah, komik terbitan Qalif Umar Creative itu turut menerangkan secara ringkas perubahan dan transformasi kerajaan BN sejak beliau mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009.

Tiada ulasan: