HALAMAN SANTAI

Ahad, 1 Julai 2012

UMNO tolak hudud, MCA hina hudud, mengapa DAP dijadikan sasaran?

 Oleh Izmil Amri




Apabila ada seorang hadirin bertanya sambil mencuba untuk memintal-mintal konteks tajuk satu wacana minggu lalu dengan soalan “sama ada DAP merasa terancam dengan kebangkitan Islam”, saya melihat tepat ke wajah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk melihat riak mukanya, agar dapat saya teka kadar keterancamannya.

Rambutnya yang bersikat kemas sedikit pun tidak terusik. Otot mukanya juga tidak menguit. Ternyata Guan Eng sedikit pun tidak merasa gusar, apa lagi rasa terancam.

Kenapa perlu dia rasa terancam dengan kebangkitan Islam? Kenapa dia perlu risau dengan kebangkitan umat Arab yang dahagakan demokrasi dan kebebasan menentang regim kuku besi di negara-negara mereka?

Walau pun hadirin tersebut mungkin tidak bermaksud apa-apa dalam bertanyakan soalan itu, pertanyaan sebegini biasanya dibawakan oleh mereka yang tiada minat untuk berdakwah, tetapi lebih senang menghukum oarng lain yang tidak sealiran dengannya yang dilabel sebagai musuh Islam.

Bagi kelompok seperti ini, orang bukan-Islam dalam alam fantasinya dilihat sentiasa berkonspirasi untuk menjatuhkan Islam dan memurtadkan sesiapa sahaja yang termampu. Ini mentaliti Hasan Ali; dan saya tumpang kasihan dengan mentaliti ini.

Mengapa suka menghukum, memaksa?

Ya benar, Islam jauh lebih besar berbanding soal-soal pokok yang cuba ditekuni oleh DAP dan pemimpinnya, yang rata-rata tidak pernah masuk kelas agama Islam di sekolah rendah. Jadi tidak hairan kenapa pemahaman Islam mereka tidak begitu hebat. Tetapi ramai juga orang Islam sendiri yang kurang jelas tentang agama sendiri.

Adalah amat dangkal jika Lim Guan Eng mahu dihukum kerana kekurangan ilmu tentang agama dan ritual Islam. Sindrom mahu menghukum ini adalah sindrom yang tidak boleh dibiarkan melarat di kalangan orang Melayu Islam yang merasakan dirinya lebih Melayu dan Islam berbanding orang Melayu Islam lain. Ini juga mentaliti yang wajar dikasihani.

Islam sepatutnya disampaikan melalui dakwah. Tapi bukan sahaja golongan ini tidak mahu berdakwah kepada Guan Eng, malah mahu pula dipaksanya memahami agama Islam menurut acuan mereka sendiri. Bukankah Tuhan menyuruh supaya berdakwah dengan cara hikmah?

Hudud dijadikan isu politik

Soal hudud menjadi begitu popular dalam wacana ‘Adakah Dasar DAP Mengancam Islam’ anjuran Roketkini.com di Shah Alam, Selangor pada Rabu lalu. Ini tidak menghairankan sangat, kerana memang itulah soalan paling sinonim ciptaan UMNO untuk menyerang DAP, sebuah parti sosial demokrat pelbagai kaum yang menentang rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan perkauman.

DAP mempunyai pendirian tersendiri tentang hudud atas dasar ideologinya sendiri serta kontrak sosial Merdeka yang kini dijelmakan sebagai Perlembagaan Persekutuan yang dipersetujui bersama tokoh-tokoh kemerdekaan dari kalangan Islam dan bukan-Islam pada 1950-an dahulu.

Namun, propaganda UMNO-Barisan Nasional sengaja dijadikan senjata menyerang DAP yang seringkali disalah erti, dek kerana prejudis masyarakat ramai terhadap parti itu yang dikatanya sosialis dan menolak agama. Sehingga ramai yang tidak sedar bahawa DAP adalah parti yang terbuka kepada semua kaum dan penganut agama, asalkan jiwanya bersifat demokratik, yakin kepada keadilan, memperjuangkan kebebasan, hak asasi manusia dan peluang saksama.

Walau apa pun alasannya, UMNO terang-terangan tolak hudud. Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba berpusing-pusing tapi yang nyata, beliau menjelaskan BN tidak akan melaksanakan hudud. MCA tambah menghina hudud. Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah menyebut bahawa hudud akan membawa Malaysia ke zaman kuno dan menakutkan pelabur asing.



Persoalannya, jika jelas UMNO dan MCA bersekongkol menolak hudud, mengapa DAP yang menjadi sasaran? Mengapa orang Islam yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud tidak bertanyakan soalan yang sama ini pada setiap kali ada wacana, dialog, ceramah atau apa sahaja acara kepada para pemimpin UMNO-BN?

Pendirian DAP jelas nyata, tiada dolak dalik. Malah DAP berani menganjurkan wacana dan dialog walau pun disedari soalan-soalan yang susah akan dilontarkan.

Kenapa Presiden UMNO Najib Razak tak mahu anjur wacana supaya orang ramai boleh bertanya soalan-soalan susah kepadanya pula? Lagikan ditanya tentang Scorpene dan Altantuya sudah ditepis soalan itu jauh-jauh. Inikan pula nak ditanya tentang hudud dan siyasah syar’iyah.

Pada malam wacana itu, Guan Eng ternyata tidak berhutang penjelasan dengan sesiapa pun malam itu. Bak kata orang putih, semuanya ‘clear cut’. Tiada selindung-selindung. Hujahnya mantap dan pendiriannya jelas nyata. Tidak ada orang yang bangun bertanya mohon klarifikasi dan ajak berdebat panjang. Itu tandanya soalan mereka sudah terjawab, dan rata-rata hadirin pulang dengan hati yang lapang dan tenang.

DAP, tak kenal maka tak cinta

Pengurusan dan pentadbiran DAP adalah bersifat sekular. Ini bermakna ia tidak mempergunakan atau memanipulasi apa-apa agama sebagai asas perjuangan parti. Malah, agama tidak dijadikan alasan dalam sebarang aktiviti politik, termasuk dalam kempen di dalam dan luar parti.

Ia bukan anti-agama, hanya bersifat non-agama di mana semua ahli yang berbeza agama adalah sama rata, sama hak dan sama peluang. Ini bererti tidak ada sesiapa yang dipilih atas dasar agama anutannya atau warna kulit atau keturunannya, melainkan kelayakan, kemampuan, kebolehan, kejujuran, kecekapan, ketelusan dan sifat amanah seseorang.

Sekularnya DAP sebagai sebuah entiti politik hanya menunjukkan bahawa parti memandang agama sebagai hak individu. Sebagai parti yang buat masa ini majoriti ahlinya Cina, pastilah ia tidak mahu memandai-mandai dalam hal agama, termasuk hudud.

Oleh kerana para pemimpin UMNO dan pecacai mereka teramat benci dengan DAP yang menyerlahkan kepincangan sistem pemerintahan yang bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa, mereka sentiasa mencipta dan menabur fitnah. Antara pembohongan itu termasuklah kononnya DAP mahu menjadikan Malaysia negara Kristian.

Sebelum ini, DAP dituduh anti-hudud kerana bersifat sekular, apa pula halnya dengan tuduhan mahu mengkristiankan negara? Bagaimana pula perasaan ahli-ahli DAP yang beragama Hindu, Buddha dan mereka yang beragama Islam? Maknanya yang buat fitnah itu pun tak begitu pandai merencanakan propaganda jahat mereka.

Guan Eng, seorang Cina sebenarnya jauh lebih teguh akhlaknya berbanding sesetengah pemimpin UMNO. Beliau rela dipenjara kerana mempertahankan maruah dan harga diri seorang gadis Melayu yang didakwa dicabul oleh seorang pemimpin Melayu.  Beliau benar-benar serius memerangi rasuah, salah guna kuasa, pencabulan hak asasi manusia dan memperjuangkan keadilan – semuanya ciri-ciri mulia agama – tanpa menggunakan alasan agama.

Baginya, semua agama mengajar kebaikan, menentang keburukan. Yang berbeza hanya soal aqidah dan ritual serta hukum-hakam. Beliau menganjurkan perpaduan hati berasaskan dasar bersama, yakni menentang kezaliman serta menyeru kepada pemerintahan yang adil, bebas dan bersih. Sedikit-sebanyak, itulah yang diamalkannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

UMNO, parti yang menolak hudud dan menghina Tok Guru Mursyidul Am PAS Nik Aziz Nik Mat; sehingga kini masih terhegeh-hegeh mahu mengajak PAS untuk berpadu, konon atas dasar agama dan semangat kemelayuan.

Namun PAS bukan bodoh. Ia nyatanya lebih selesa untuk duduk bersama dengan DAP, meski parti pimpinan Guan Eng itu berbeza pandangan dalam soal pelaksanaan hudud, ia tidak pula menghina hukum Islam seperti yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin BN.

Berani berlaku adil



DAP Ia tidak punya tugas untuk menyebarkan kefahaman tentang hudud kerana itu bukan agenda politiknya yang berpaksikan nilai-nilai sejagat, termasuk keadilan sosial, hak asasi manusia, pembahagian kekayaan negara secara adil, tolak korupsi dan lain-lainnya.

DAP juga tidak pula terancam dengan dunia Arab kerana ia ialah kebangkitan rakyat menolak tirani dan kezaliman pemerintah diktator. DAP yang tidak terasa terancam dengan kebangkitan itu pula tidak mengancam Islam atau menolak Melayu. Sifat demokratiknya sentiasa membuka pintu untuk semua dalam sifat inklusif yang mahu negara dibebaskan dari belenggu kezaliman.

DAP tidak mengancam Islam. DAP tidak anti-Melayu. DAP tidak komunis. Komunis juga tidak mengaku DAP komunis. DAP juga bukan parti cauvinis Cina. Jika ya, maka Karpal Singh itu orang apa?

Apakah cauvinis Cina dalam DAP bermaksud M. Kulasegaran, Dr P. Ramasamy, Ahmad Ton, P. Gunasekaran, John Fernandez, Leon Jimat Donald, Dr Edwin Bosi, Zairil Khir Johari, Abdul Manan Razak, Tengku Zulpuri Shah, V. Sivakumar dan banyak lagi?

Adakah kerana media massa yang dikawal oleh UMNO-BN menyebabkan ramai orang tidak sedar bahawa ramai tokoh Melayu telah lama berjuang dalam DAP seperti Allahyarham Mohd Nor Jetty, Ahmad Nor, Ibrahim Singgeh, dan ramai lagi?

Tidak dinafikan DAP dan PAP Singapura berkongsi latar sejarah, tetapi amat bodoh dan dangkal dakwaan bahawa kedua-duanya sama. Malah, Guan Eng pada malam wacana tempoh ahri terang-terangan mengkritik PAP Singapura kerana mengamalkan undang-undnag zalim tahanan tanpa bicara Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), membungkam dan menyekat kebebasan bersuara.

Itu kata Guan Eng, secara bertentang mata, tanpa selindung-selindung. Berani, tulus dan tegas. Malah, pada satu wacana lain, Dr Maszlee Malik pernah menjelaskan bahawa jika DAP berada di Singapura hari ini, ia akan menjadi pembangkang kepada PAP kerana PAP lebih mirip corak pemerintahannya dengan UMNO-BN (walau pun amat sedikit amalan rasuah dalam pemerintahan PAP).

Selagi media massa masih dikawal dan dikuasai oleh UMNO-BN, selagi itu rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, akan terbenam dalam politik perkauman dan agenda agama yang disempitkan sebagai senjata politik pemerintah.

Atas nama kebebasan bersuara, tidak ada salahnya untuk bertanya kepada DAP tentang hudud. Tetapi atas nama kebebasan dan keadilan, beranikanlah diri untuk bertanya setiap detik, setiap hari kepada UMNO dan BN tentang perkara yang sama.

Atau mungkin lebih baik lagi, sama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan atas dasar-dasar yang berteraskan demokrasi, hak asasi, peluang saksama dan kedaulatan undang-undang, tanpa dikekang isu-isu yang berniat mengalih perhatian daripada kebobrokan pemerintah. – Roketkini.com

Tiada ulasan: