HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Oktober 2012

Kompaun kepada peniaga jika naikkan harga makanan

 
Peniaga dan pengusaha yang ingkar boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.



KUALA LUMPUR: Peniaga dan pengusaha yang didapati menaikkan harga makanan sesuka hati bakal berdepan dengan tindakan tegas termasuk kompaun sehingga RM500,00 ekoran subisidi gula dikurangkan sebanyak 20 sen.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata, peniaga dan pengusaha yang ingkar boleh didakwa di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2010.

Di bawah peruntukan tersebut, individu yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM50,000 manakala bagi syarikat pula kompaun boleh dikenakan sehingga RM500,000.

“Saya menyeru kepada peniaga dan pengusaha makanan jangan ambil kesempatan daripada pengurangan subsidi ini untuk menaikkan harga makanan dan minuman.

“Ini kerana kosnya begitu minimum tidak sampai satu sen. Kita harap mereka dapat menyerap kos ini sekaligus dapat membantu meringankan beban hidup rakyat,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Diarah memantau

Beliau berkata badan penguatkuasa KPDNKK telah diarahkan untuk memantau harga di kedai, restoran dan industri pengeluaran makanan.

“Kita harap golongan pengguna menjadi telinga dan mata kerajaan dengan melaporkan kepada KPDNKK jika ada pengusaha menaikkan harga makanan terlalu tinggi.

“Aduan boleh dibuat di semua pejabat KPDNKK di peringkat cawangan mahupun negeri,” katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semasa pembentangan Belanjawan 2013 Jumaat lalu mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen.

Namun Tan dalam responnya mempertahankan tindakan bajet pengurangan subsidi itu dengan alasan mahu mendidik rakyat mengurangkan jumlah penggunaan gula kerana boleh menjejaskan kesihatan seperti penyakit kencing manis.

Tiada ulasan: