HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 Oktober 2012

Majlis kahwin: PR mahu SPRM siasat Ali Rustam

Munirah Abdul Aziz

Majlis kahwin: PR mahu SPRM siasat Ali Rustam
Majlis kahwin: PR mahu SPRM siasat Ali Rustam
 
Majlis kahwin: PR mahu SPRM siasat Ali Rustam
Shamsul Iskandar (enam, kanan) bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat selepas membuat laporan di SPRM Melaka, hari ini.
 
MELAKA - Satu laporan rasmi dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Melaka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkaitan majlis kahwin mega anaknya hujung minggu lalu.

Diketuai Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Melaka yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin, turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya I Pas Negeri, Kamaruddin Sidek dan Ketua Pembangkang Melaka, Goh Leong San.

Menurut Shamsul Iskandar, laporan kepada SPRM itu adalah bagi membolehkan badan itu menyiasat majlis perkahwinan anak Mohd Ali yang dikatakan menelan belanja hampir RM600,000.

Menurutnya, perbelanjaan itu diakui sendiri Mohd Ali dalam satu laporan akhbar berbahasa Inggeris, yang mana menurut Shamsul Iskandar, ia merupakan satu perbelanjaan di luar kemampuan Mohd Ali sebagai seorang Ketua Menteri.

“Sekiranya dikira elaun beliau sebagai Ketua Menteri sebanyak RM20,000 sebulan pun, jumlah RM600,000 itu jelas di luar kemampuan sebagai Ketua Menteri.

“Sehubungan itu, kita pemimpin PR Melaka mengesa supaya SPRM segera menjalankan siasatan terhadap beliau,” katanya kepada media di luar bangunan Ibu Pejabat SPRM Melaka, di Alai, dekat sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, beliau turut mengemukakan satu dokumen minit mesyuarat Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang menunjukkan satu mesyuarat khas dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif PKNM telah diadakan bagi menguruskan majlis perkahwinan itu.

Katanya, pembabitan agensi berkenaan boleh dipertikaikan kerana sebagai sebuah badan dipertanggungjawabkan untuk membantu rakyat, ia telah disalahguna untuk kepentingan Ketua Menteri.

Menurutnya, minit mesyuarat berkenaan turut mencatatkan bahawa setiap persiapan itu adalah atas budi bicara jabatan terbabit serta tiada sebarang bil tuntutan akan dikenakan keatas Ketua Menteri atau Kerajaan Negeri.

“Ini merupakan satu salahguna kuasa yang amat jelas. Kita kemukakan ini dan beberapa aspek lain bagi menggesa supaya SPRM mengambil pandangan serius terhadap perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Leong San berkata, Mohd Ali perlu memohon maaf kepada semua rakyat Melaka atas apa berlaku kerana perbelanjaan besar ini telah membawa kerugian kepada rakyat.

Menurutnya, sebagai pembayar cukai, rakyat mempunyai hak untuk bersuara kerana cukai dikutip itu sepatutnya digunakan untuk kepentingan dan manfaat rakyat sendiri.

“Ini merupakan satu bukti kukuh bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) menyalahgunakan kuasa. Sehubungan itu, Ketua Menteri perlu memohon maaf kepada semua rakyat Melaka,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap SPRM Melaka ketika dihubungi Sinar Harian, mengesahkan telah menerima laporan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut

Tiada ulasan: