KUALA LUMPUR: Ahli parlimen pembangkang mendakwa kerajaan "menyembunyikan" maklumat tentang kedudukan semasa hutang negara, memorandum jangka panjang untuk hutang luar dan dalam negara merujuk laporan pembentangan Bajet 2013 Jumaat lalu.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata sebelum ini maklumat-maklumat tersebut dimuatkan dalam laporan tahunan pembentangan bajet, namun ianya tidak terkandung dalam cadangan belanjawan tahun 2013.
"Saya rasa kerajaan mesti bertanggungjawab untuk memberi penjelasan kenapa perkara ini berlaku. Kenapa laporan kedudukan semasa, memorandum jangka panjang untuk hutang luar dan dalam negara tidak dimasukkan dalam laporan kali ini. Sekaligus menimbulkan tanda tanya adakah ianya disengajakan sebagaimana laporan Ketua Audit negara yang dsengaja dilambatkan?" katanya.
Tambah beliau lagi, maklumat tersebut adalah mustahak kerana Kementerian Kewangan telah mendedahkan jumlah-jumlah untuk ditimbang tara berdasarkan keupayaan kewangan negara dan kebolehbelanjaan kerajaan melalui peruntukan-peruntukan yang dinyatakan dalam bajet itu. Katanya semua perkara tersebut harus diteliti.
Justeru Azan berkata, langkah kerajaan yang meragukan ini berkemungkinan berkait dengan keputusan melewatkan Laporan Audit Negara untuk tatapan semua ahli parlimen.
Perkara yang tidak ada dimasukkan;- penyata kedudukan kewangan pada akhir tahun 2011, penyata kumpulan wang berkanun kerajaan bagi anggaran kumpulan wang pada 31 Disember 2011. Penyata hutang awam dan jaminan juga tidak ada, yang mana secara tradisinya (ada) dihilangkan pada kali ini.
Kerajaan baru-baru ini berkata Laporan Audit Negara akan dikeluarkan dua minggu selepas pembentangan Bajet 2013 untuk memberi ruang kepada parlimen membahaskan cadangan belanjawan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dalam satu kenyataan dipetik sebagai berkata pihaknya tidak akan menyembuyikan sebarang maklumat dalam laporan berkenaan.
"Kita tidak ada perkara untuk disembunyikan. Tahun lepas, Laporan Audit Negara 2010 dibentangkan dua minggu selepas Bajet 2012," katanya kepada pemberita.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan motif kerajaan untuk menangguhkan laporan audit untuk mengelakkan pihak pembangkang merujuk kepada laporan tersebut ketika membahaskan bajet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan