HALAMAN SANTAI

Selasa, 2 Oktober 2012

Hapus PTPTN memudaratkan ekonomi negara - LPKPM

Oleh Shuhaniza Said

Post Pic

SHAH ALAM: Penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk golongan mahasiswa seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2013 Pakatan Rakyat tidak lebih sekadar angan-angan.

Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pelindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia, Mohd Mustafa Hamzah berkata, penghapusan pinjaman tersebut agak mustahil dilaksanakan, apatah lagi melibatkan peruntukan yang besar serta tidak mengambil kira dari segenap aspek.

"Dalam belanjawan pembangkang, mereka mengatakan akan menghapuskira PTPTN ini. Hapuskira saja melibatkan RM30 billion yang diperuntukkan. Maknanya, daripada RM251 billion, ambil RM30 billion untuk PTPTN.

"Sedangkan belanja pengurusan kita mewakili 70 peratus daripada perbelanjaan pengurusan secara keseluruhan. Bagaimana pula dengan aspek pembangunan?," katanya dalam wawacana khas bersama Antarapos.

Wacana tersebut yang membincangkan topik Berjayakah Aspirasi Rakyat Diterjemah Dalam Bajet 2013 turut menampilkan  Pengerusi Biro Ekonomi Dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Sohaimi Shahadan dan Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Sha'ani Abdullah.

Sementara itu, penghapusan PTPTN seperti yang dibentangkan Pakatan dalam belanjawan mereka turut diselar Sohaimi yang menyifatkan perkara tersebut tidak masuk akal.

"Tapi kalau nak hapuskan semua tabung PTPTN, saya fikir ini tak masuk akal lah. Sebab tak ada negara di dunia ini pun yang melakukan sebegitu dalam pendidikan," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) sebaliknya menyifatkan Bajet 2013 yang dibentangkan kerajaan adalah yang terbaik kerana bersifat realistik.

Tambah beliau, beberapa insentif berupa pemberian diskaun yang bakal diperkenalkan bagi memudahkan proses pembayaran balik pinjaman PTPTN seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sesuatu yang baik untuk jangka masa panjang.

"Jadi duit ini kalau diberi pinjam, dia akan keluar-keluar dan habis. Selain daripada dana tambahan yang diberi kerajaan, macam mana nak buat pusingan balik untuk diberi pinjaman kepada generasi lain ialah membuat balik kutipan, mengumpul kembali 'collection' atau bayaran bulanan yang dibuat oleh pelajar yang meminjam.

"Jadi isunya, tabung itu kalau tidak boleh penuh kembali, ia sekurang-kurangnya kena berisi supaya kumpulan yang lain boleh dapat.

"Cuma satu saya fikir satu perkara, kalau kerajaan boleh buat penambah kepada tawaran ini pada tahun-tahun depan, mungkin pelajar cemerlang, dalam keadaan-keadaan tertentu boleh ditukarkan menjadi biasiswa," katanya.

Sementara itu, Fomca meminta kerajaan mengkaji semula sistem pemberian pinjaman PTPTN kepada mahasiswa.

Shaani berkata, kajian semula terhadap sistem pinjaman tersebut adalah bagi memberi keutamaan terhadap perkara yang menjadi prioriti, iaitu pendidikan.

"Pendirian kami sentiasa sama. PTPTN harus dikaji semula. Sama ada dilupuskan atau tidak, ia adalah (berkaitan) kemampuan kerajaan. Perlu dikaji semula.

"Dari awal lagi, satu perkara Fomca tidak setuju adalah pendidikan adalah satu keperluan asas. Dan ini adalah tanggungjawab kerajaan. Memang kos jadi masalah sekarang. Kita tak begitu persoalkan subsidi terhadap gula, petrol. Kita boleh kira, sebulan di rumah kita guna berapa kilo," katanya.

Tambahnya, orang ramai tidak pula mempersoalkan pemberian subsidi yang tinggi terhadap barang keperluan seperti gula dan petrol, namun sering mempersoalkan peruntukan untuk

menghapuskan pinjaman PTPTN oleh pembangkang. "Oleh kerana barang ini murah, pihak lain tumpang menggunakan barang murah ini. Dan subsidi adalah berbilion, kita tak persoalkan berbilion ini tapi kita persoalkan peruntukan (penghapusan) PTPTN yang berbilion ini.

"Kalau kita boleh gantikan subsidi pada barangan kepada PTPTN, memang kita boleh tanggung kos pendidikan. Mungkin tak percuma pun, dengan begitu kadar yang tinggi boleh disubsidikan," katanya.    

Tiada ulasan: