HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Januari 2013

Mahasiswa KEADILAN: Sharifah Zohra ‘bunuh’ intelektual pelajar

Oleh Arif Juhani

KUALA LUMPUR: Mahasiswa KEADILAN Malaysia mengutuk Presiden Suara Wanita 1 Malaysia (SW1M), Sharifah Zohra Jabeen Syed Shah Miskin yang menyatakan video pertembungan pendapat beliau dengan KS Bawani merupakan manipulasi Pakatan Rakyat untuk meraih sokongan.

Presidennya, Haziq Abdul Aziz berkata, tidak timbul isu manipulasi kerana selain Pakatan Rakyat, banyak parti komponen Umno BN turut mengecam tindakan beliau ke atas mahasiswa undang-undang Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, termasuk Kimma yang dianggotainya.



“Tiada manipulasi kerana video itu dimuat-naik (upload) oleh pentadbiran UUM iaitu tempat forum tersebut berlangsung. Video yang dimanipulasi adalah video parodi yang dibuat oleh individu dengan niat berjenaka,” katanya ketika dihubungi.

“Dalam video asal, masyarakat boleh menilai sikap pemimpin wanita itu ketika berdepan pendapat berbeza dari seorang mahasiswa. Apa yang berlaku dia biadab apabila menghalang Bawani mengemuka pendapat. Kita kesal kerana Zohra cuba ‘membunuh’ potensi intelektual Bawani,” sambung Haziq.

Beliau juga mengecam Zohra yang terlebih dahulu memberi kemaafan kepada masyarakat yang mengutuk perilakunya ke atas Bawani.

Malah katanya, andaian Sharifah Zohra mengatakan Bawani sengaja ‘menyusup untuk mencetuskan provokasi’ dalam forum kontroversi 8 Januari lalu itu tidak berasas.

“Dalam sidang media, jelas menggambarkan dia tidak ikhlas dan angkuh apabila memaafkan masyarakat yang mengutuknya. Walhal dia yang patut minta maaf atas kebiadaban itu. Begitu juga tindakan beliau yang cuba mengalih isu dengan menggambarkan Bawani dihantar untuk cetus provokasi.

“Ini menunjukkan dia cuba menyalahkan Bawani. Sedangkan masyarakat boleh menilai siapa yang bersalah dalam insiden “Listen” itu,” ujar aktivis Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami) itu.

Haziq berkata, Zohra turut menghina masyarakat dengan menganggap masyarakat gagal menilai isi kandungan video itu.

Tiada ulasan: