Gurauan Datuk Seri Azalina Othman Said menawarkan Pengarah
Strategi PKR Rafizi Ramli jawatan pengurus kempennya bagi bertanding
jawatan Ketua Wanita Umno membuka ruang santai di Dewan Rakyat hari
ini.
Seloroh bersahaja Azalina (BN-Pengerang) tercetus ketika Rafizi
(PKR-Pandan) bangun untuk meminta laluan bagi mencelah perbahasan bekas
Ketua Puteri Umno itu atas titah menjunjung kasih Yang di-Pertuan
Agong.
"Oh, Rafizi. Saya beri peluang sebab saya nak dia jadi 'campaign
manager' saya nanti semasa bertanding Ketua Wanita Umno," katanya
sebelum memberikan laluan kepada Rafizi.
Tawaran Azalina itu mengundang tawa anggota Parlimen yang hadir
sebelum disambut Rafizi yang menyatakan persetujuan beliau untuk menjadi
pengurus kempen Azalina bagi menentang Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil.
Mengalu-alukan persetujuan Rafizi, Azalina seterusnya memberi syarat
kepada Anggota Parlimen baharu itu untuk menyertai UMNO terlebih dahulu
dan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian Pengerang boleh membantunya.
Azalina pada Jumaat lepas dilaporkan mengakui kesediaannya untuk
bertanding jawatan Ketua Wanita Umno itu pada Pemilihan Agung Umno
hujung tahun ini, membayangkan pertembungan sengit bagi merebut jawatan
tertinggi sayap parti itu.
Ini memandangkan Shahrizat turut mengesahkan hasrat untuk
mempertahankan jawatan itu yang dimenanginya pada 2009, selepas berdepan
pertandingan hebat ketika menentang Tan Sri Rafidah Aziz.
Shahrizat sebelum ini "terpalit" dalam kontroversi NFC (National
Feedlot Corporation) kerana perbadanan itu diterajui suaminya Datuk Seri
Mohamad Salleh Ismail dan ironinya kontroversi itu meletus setelah
Rafizi membuat beberapa pendedahan berkaitan NFC.
Dalam pada itu, Azalina yang terkenal dengan sikap tegas dan lantang
turut membidas cubaan anggota Parlimen pembangkang untuk mempolitikkan
isu bantuan kerajaan kepada rakyat.
Kali ini dakwaan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) bahawa
kerajaan tidak memberi layanan sama kepada rakyat di negeri pembangkang
berbanding yang ditadbir Barisan Nasional (BN) ditempelak Azalina dengan
menyifatkan anggota Parlimen itu "lambat faham".
"Pada Kota Bharu (Takiyuddin), saya ingin menyebut duit BR1M (Bantuan
Rakyat 1Malaysia) yang diberi oleh kerajaan BN, tidak kisah rupa,
sokongan politik, jantina...asalkan dia (rakyat) tidak mampu (mengikut
syarat kelayakan), kerajaan bantu.
"Saya sebagai wakil rakyat BN tidak pernah bertanya penerima BR1M
sama ada dia sokong UMNO, PAS, DAP atau PKR. Semua rakyat disamakan
asalkan rakyat itu memerlukan bantuan. Jadi Kota Bharu, saya minta
maaflah, mungkin kefahaman Kota Bharu ini agak lambat setahun,"
katanya.
Malah, Azalina secara sinis berkata Takiyuddin juga mungkin tidak
mendengar perbahasan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), minggu lepas yang
menyebut bahawa Kelantan di bawah pentadbiran PAS, mendapat agihan
peruntukan lebih tinggi daripada Kerajaan Persekutuan berbanding
negeri-negeri yang dikuasai Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan