JOFRI JARAIEE PAS MIRI
MIRI: Masih terdapat masalah dari segi pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada rakyat Malaysia yang layak baru-baru ini terutama bagi mereka yang tidak mempunyai akaun dalam bank.
Seperti yang dilaporkan dalam akhbar, ada yang berebut-rebut sampai ada yang pengsan dan ada juga yang kecewa kerena tidak dapat menerima BR1M pada hari itu dan terdapat ramai penerima yang menerima BR1M kurang dari sepatutnya.
Ada penerima yang kurang puas hati kerana janji kerajaan Barisan Nasional (BN) semasa PRU13 dulu akan diberi RM1,200 tetapi sekarang hanya diberi RM650 bahkan ada yang menerima hanya RM450.
Pihak kerajaan harus memberi penjelasan mengapa ada sesetengah penerima BR1M tidak mendapat jumlah seperti yang sepatutnya. Mengapa ada pencukaian dalam pemberian BR1M?
Walaupun ada di antara mereka yang layak untuk mendapat BR1M tetapi disebabkan cara pengagihan yang tidak sistematik menyebabkan nama mereka tercicir atau hilang dalam senarai penerima yang layak.
Ada di antara mereka yang mengadu terpaksa berulang alik kerana nama mereka tidak ada dalam senarai penerima dalam sesuatu kawasan.
Mereka diarah supaya pergi ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tetapi bila sampai ke sana, mereka pula disuruh pulang ke tempat pejabat daerah kerana nama mereka tidak ada dalam senarai penerima.
Kebanyakan mereka ini datang dari luar bandar dan kos pembelanjaan untuk mendapatkan BR1M memang tidak berbaloi kalau dibandingkan kesukaran dan kos ulang alik mereka yang terpaksa menyewa kenderaan untuk sampai ke bandar.
Kita sarankan kepada pihak kerajaan dan mereka yang berkenaan agar pengagihan BR1M dapat dilakukan dengan lebih sistematik dan berkesan dengan menggunakan kaedah seperti mengumpul data-data penerima mengikut umur dan juga susunan abjad.
Contohnya, golongan warga emas yang berumur 60 tahun keatas diberi keutamaan dan disusuli oleh golongan ibu tunggal dan seterusnya golongan yang layak menerimanya dalam satu garisan mengikut kumpulan yang tersebut.
Buka kaunter berasingan antara wanita dan lelaki agar ianya berjalan dengan lancar semasa pengagihan BR1M.
Perkara di atas boleh diatasi dengan mengunakan sistem data yang lebih kemas dan ini boleh mengelak kesesakan dan perebutan semasa pengagihan BR1M.
Bagi yang tinggal di pedalaman sepatutnya pengagihan boleh dibuat di rumah panjang atau di balai raya yang berdekatan untuk memudahkan penerima BR1M yang kurang berkemampuan untuk datang ke bandar.
Kita harap pengagihan BR1M berjalan lancar dan adil tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.
BR1M adalah hasil dari wang pembayar cukai maka semestinya mereka yang layak sahaja yang patut menerimanya. Kerjasama dengan pihak berkenaan untuk mengatasi masalah ini amat dihargai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan