HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Februari 2014

Laporan tahunan Tadmax bukti nilai tanah dibeli 1MDB naik mendadak


tony pua 2



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua hari ini mengemukakan Laporan Tahunan Tadmax Resources Berhad, yang membuktikan nilai tanah 310 ekar di Pulau Indah yang dibeli 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memang naik mendadak dalam masa dua setengah tahun.

Beliau sebelum ini mendedahkan kenaikan mencurigakan itu, namun Ketua Pegawai Eksekutif Tadmax, Datuk Faizal Abdullah mendakwa nilai itu munasabah.

Malah, Faizal yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Kapar menuduh Tony melakukan kesilapan, kerana kenaikan nilai itu adalah dalam masa lapan tahun.

“Mujurlah selepas saya lihat Laporan Tahunan Tadmax sekali lagi, saya belum hilang kebolehan untuk membaca dan mengira dengan betul,” katanya sinis.

Memetik laporan tahunan itu, Tony berkata, proses penilaian semula pada 11 Mei 2007 menunjukkan harga tanah adalah RM163.1 juta (RM9.88 sekaki persegi), manakala pada 4 Ogos 2011 pula meningkat kepada RM163.86 juta (RM9.93 sekaki persegi)

“Mungkin Faizal tidak tahu baca laporan tahunan syarikatnya sendiri. Terima kasih kepada beliau, penemuan ini sebenarnya timbulkan lebih banyak persoalan terhadap pembelian 1MDB.

“Antara 11 Mei 2007 hingga 4 Ogos 2011, nilai tanah kosong itu hanya naik 0.5 peratus daripada RM9.88 kepada RM9.93 sekaki persegi.

Namun tanpa sebab yang belum diketahui, antara 4 Ogos 2011 hingga 24 Januari 2014 (dua tahun setengah), nilainya naik mendadak sehingga 136.7 peratus, daripada RM9.93 kepada RM23.50 sekaki persegi – nilai yang dibayar 1MDB,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 20 Februari lalu, Tadmax mengumumkan pengambilalihan tanah itu melalui perjanjian jualan saham dengan Ivory Merge Sdn Bhd untuk menjual 310 ekar tanah bernilai RM317.3 juta secara tunai.

Tadmax dulu dikenali Wijaya Baru Global Berhad, terbabit dengan skandal RM12.5 bilion Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Dengan sinis, Tony ‘memuji’ Faizal dengan berkata, “Walaupun saya masih boleh membaca dan mengira, saya tak dapat tandingi kebolehan beliau untuk jual tanah kepada pihak berkaitan kerajaan dan buat untung besar.

“Dulu, syarikatnya menjual tanah 753 ekar di Pulau Indah kepada Port Klang Authority (PKA) dengan harga menggunung, RM1.09 bilion pada 2004 yang menyebabkan skandal PKFZ. Kini, beliau dapat jual tanah 379 ekar kepada 1MDB dengan harga RM317.3 juta,” katanya lagi.

1MDB perlu beri penjelasan

Sehubungan itu, beliau mendesak 1MDB menjelaskan sebab pembelian tanah itu dan memberi jaminan yang ia bukan untuk menyelamatkan Tadmax.

“Kedudukan kewangan Tadmax sangat parah, dengan jumlah kerugian RM8.52 juta dan perolehan hanya RM3.55 juta. Melihat sejarah Tadmax – pembabitannya dengan badan kerajaan dan krisis kewangan yang dialami, 1MDB perlu jelaskan pembelian itu dan beri jaminan kepada rakyat yang ia bukan satu ‘bail-out’ kepada Tadmax,” katanya lagi. -Roketkini.com

Tiada ulasan: