HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Februari 2014

Daim kritik Najib selepas kritik Anwar....sebenarnya mereka tu sama sahaja



Daim sudah terlalu jauh mengkritik Najib dan cuba menunjukkan bukti-bukti mengikut interpretasi beliau sendiri diatas segala kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri. Sebenarnya baik Daim mahu pun Dr Mahathir, mereka tidak boleh dari segi moralnya mengkritik Najib sedemikian rupa. Yang boleh mengkritik Najib itu adalah orang lain…orang-orang seperti saya dan ramai yang lain kerana kami yang mengkritik ini tidak pernah bertanggungjawab menaikkan Najib sehingga menjadi Perdana Menteri.

Seperti Dr Mahathir, Daim juga merupakan pemimpin yang bersama Dr Mahathir menaikkan semua pemimpin yang mewarisi kepimpinan Dr  Mahathir yang mereka (Daim, Mahathir) menjadi Perana Menteri itu. Abdullah Badawi dan Najib merupakan pemimpin yang sudah diatur-atur oleh Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semasa mereka ini semuanya sebalok dengan Mahathir dan Daim ini.

Tanpa kemahuan Dr Mahathir dan sokongan Daim semasa itu Abdullah dan Najib tidak mungkin dengan mudah menjadi Perdana Menteri. Sesungguhnya Daim dengan Dr Mahathir itu adalah sama. Mahathir yang 'terkentut-kentut', Daim pula yang 'ke tandas'. Daim itu sendiri tidak akan kemana-mana jika beliau tidak di bawa oleh Dr Mahathir untuk menggantikan Tengku Razaleigh sebagai Menteri Kewangan selepas perhimpunan agung UMNO pada tahun 1984 dahulu.

Kami masih ingat Daim telah menjadi kaya raya selepas hanya beberapa bulan sahaja menjadi Menteri Kewangan. Sebelum itu seperti ramai yang lain menghadapi terlalu banyak masalah perniagaannya. Pendeknya kekayaan beliau sekarang bermula setelah beliau menjadi Menteri Kewangan dan Bendahari Agung UMNO pada tahun 1984 dahulu. Ramai yang tidak tergulung kedalam kumpulan ‘Melayu mudah lupa’ yang di sebut oleh Dr Mahathir suatu ketika dahulu.

Untuk mengingatkan Dr Mahathir dan Daim ini, masih ramai orang melayu atau ahli-ahli UMNO (asal) dahulu tidak lupa-lupa kepada apa-apa yang Daim lakukan untuk dirinya terutamanya selepas sahaja beliau diangkat menjadi Menteri kewangan dahulu. Kita boleh singkap segala kerja yang tidak senonoh yang bertentangan dengan etika kepimpinan sebuah negara demokrsi berparlimen negara kita.

Perlantikan beliau ke dalam kabinet pada Jun 1984 dahulu adalah untuk memudahkan segala niat dan kemahuan peribadi pucuk pimpinan semasa itu mudah diperlakukan. Selagi ada pemimpin seperti Tengku Razaleigh dalam kabinet beliau (Mahathir) selagi itulah beliau susah untuk melakukan sesuka hati beliau dalam kabinet itu.

Maka menggantikan TR dengan Daim itu merupakan tindakan yang menambah ‘expediency’ untuk beliau melakukan apa yang beliau mahukan dan melanggar etika kepimpinan sebuah kerajaan demokrasi itu. Malahan perlantikan beliau sebagai Menteri Kewangan melalui jalan Dewan Negara (senator ship) itu sendiri sudah melanggar etika jika dipandang dari sudut amalan sebuah negara berdemokrasi yang maju. Dalam banyak negara maju perlantikan Menteri Kewangan itu selalunya adalah dari ‘elected representative’.

Contohnya (the exchequer) atau Menteri yang bertanggungjawab tentang kewangan di Britain selalunya dilantik dari kalangan ‘elected representatives’ dan tidak dilantik mengikut kemahuan Perdana Menteri sahaja. Hanya di negara-negara dunia ketiga sahaja mungkin terdapat seorang Menteri Kewangan itu masuk kabinet melalui ‘pintu belakang’. Tetapi Daim yang belum pernah dipilih oleh rakyat semasa itu dilantik oleh Perdana Menteri Mahathir diatas kedudukan beliau sebagai Ahli Dewan Negara yang di lantik.

Daim telah menyelesaikan masalah beliau sebaik sahaja menjadi Menteri Kewangan dan dalam jangka masa yang pendek sahaja Daim terkenal sebagai  'the economic czar' oleh mereka yang menjadi kroni kepada beliau sedangkan beliau menjadi seorang yang begitu tinggi kehartawanannya hanya sesudah menjadi Menteri Kewangan. Beliau sendiri tahu hal ini.

Hanya beliau menggunakan ‘ignorance’ pihak ramai itu sahaja yang membuatkan beliau sebagai seorang yang kononnya sangat ber ‘consequence’ dalam politik dan kerajaan negara ini. Hanya semasa itu mereka yang sedang mengelilingi Daim itu masih ‘kencing bercabang’ dan kurang arif untuk membuat penelitian terhadap pemimpin yang dianggap ‘czar’ oleh setengah pihak ini.

Hanya sekarang kumpulan Daim dan Mahathir ini sedang mencari pilihan yang baru untuk memerintah negara dan jika boleh yang terpilih nanti biarlah dikalangan mereka yang kumpulan ini boleh genggam dan mempengaruhi kepimpinan baru itu nanti. Ini lah yang Dr Mahathir dan Daim belum mendapatnya….iaitu seorang Perdana Menteri yang boleh mengikut kata-kata dan kehendak mereka sekarang ini.

Semasa Anwar berkuasa, dan masih bersama Dr Mahathir, Daim sering ke rumah Anwar dan pernah menulis betapa hebatnya Anwar dan Anwar sahajalah yang boleh menjadi pemimpin negara walaupun pada kami yang memahami keadaan sebenarnya kami tahu yang Anwar itu dipilih atau dilantik oleh Dr Mahathir untuk kepentingan mereka sendiri.

Sekarang Anwar sudah menunjukkan siapa beliau sebenarnya maka Anwar menjadi sasaran mereka dan mengalih pula sokongan untuk Najib dengan membuang Pak Lah yang terbukti seorang yang ‘degil’ dan tidak mahu mempedulikan kehendak kumpulan ini. Sekarang Najib pula seorang yang ‘degil’ dan tibalah masa dan giliran Najib pula untuk menerima padah dari bersandar kepada kumpulan ini untuk menaiki takhta kepimpinan negara.

Justeru sekarang ini apa yang sedang berlaku dan kekalutan politik sekarang ini semata-mata kerana kepentingan mereka yang besar-besar ini sahaja. Mereka adalah dari acuan yang sama seperti yang disebut oleh blog ini acapkali. Mahathir, Daim, Anwar, Najib dan Muhyiddin serta pucuk pimpinan beberapa orang pemimpin dalam kerajaan yang tinggi itu sama sahaja.

Hanya kita yang dibawah-bawah ini cuba hendak bermain politik dan sanggup bergaduh sesama sendiri dengan ‘name calling’ yang buruk seperti mem'babi'kan sesama sendiri dan banyak lagi istilah-istilah yang terhambur dari mulut penggiat-penggiat yang baru hendak masuk politik sekarang ini.

Akhirnya mereka sesama mereka juga yang untung, baik dari pihak Anwar misalnya mahu pun dari pihak yang bertentangan. Pergaduhan diantara mereka tidak kena mengena dengan perjuangan untuk rakyat. Kata-kata memperjuangkan untuk rakyat itu hanyalah lagu yang dinyanyikan oleh 'lidah yang tidak bertulang' mereka sahaja.

Masing-masing pemimpin besar-besar sekarang yang sedang sibuk itu, hanya menggunakan rakyat sebagai kubu pertahanan masing-masing, kerana rakyat rela diperlakukan begitu.

Buat sekarang ini rakyat Kajang sedang dibawa kekancah perebutan harta rampasan yang ada di Putrajaya itu. Tidak kurang dan tidak lebih dari itu. Dalam perebutan itu adalah dikalangan pengikut masing-masing mendapat habuan atau berharap untuk habuan, jika kumpulan masing-masing berjaya mendapatkan harta rampasan itu.

Tiada ulasan: