SHAH ALAM - PR tidak wajar terus mengaitkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan warga asing untuk dijadikan pengundi hantu dalam pilihanraya.
Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, strategi pembangkang yang mengaitkan SPR itu dengan pengundi warga asing adalah propaganda tidak adil.
Menurutnya, walaupun rakyat menginginkan pilihan raya yang adil namun dengan menimbulkan spekulasi terhadap SPR tanpa mempunyai fakta yang benar adalah keterlaluan.
"Saya baca laporan sebuah portal berita yang mendakwa satu NGO pro pembangkang telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga Myanmar di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kajang, saya kecewa.
"Terlalu awal untuk pembangkang menimbulkan spekulasi sebegini bahawa SPR terlibat dalam hal-hal yang tidak berkaitan dengan tugasnya. Saya fikir tidak tepat untuk mengeluarkan kenyataan melampau tentang ketidaktelusan SPR.
"Pada saya, propaganda yang menyampaikan maklumat secara tidak tepat dan objektif untuk mempengaruhi rakyat yang membacanya sudah tidak relevan," katanya yang dipetik dari laman Facebooknya, hari ini.
Tambahnya, PR perlu menggunakan starategi yang adil dengan mendesak suruhanjaya itu untuk mereformasikan pilihanraya.
"... strategi yang adil ialah kita perlu berterusan mendesak supaya SPR memberi perhatian kepada tuntutan untuk mereformasikan sistem pilihan raya," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan penyebaran gambar sekumpulan warga asing di kawasan Kajang di mana akan diadakan pilihan raya kecil pada 23 Mac ini.
Susulan itu, SPR menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai penyebaran maklumat serta gambar tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab tentang PRK Dun Kajang termasuk kehadiran beberapa bas persiaran ke kawasan itu.
SPR menyebut laporan dan gambar itu disebar dengan tujuan menimbulkan persepsi bahawa akan berlaku manipulasi dalam PRK Kajang termasuk menggunakan warganegara asing sebagai pengundi.
"Laporan itu juga dikaitkan dengan kelewatan tarikh PRK Kajang. Bagi SPR laporan itu sengaja ditulis sebagai strategi untuk memburukkan SPR," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Agus yang juga Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pembangkang perlu menggunakan fakta yang betul dalam mendapatkan kepercayaan rakyat.
"Untuk mendapat kepercayaan rakyat, pembangkang sepatutnya mengelak dari menyampaikan fakta-fakta yang boleh menghasilkan reaksi emosional daripada reaksi rasional.
"Strategi pembangkang menggunakan propaganda sebegini tidaklah jauh bezanya dengan perangai Josef Goebbels, Menteri Propaganda Nazi di zaman Hitler," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan