HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 Februari 2014

Mukhriz dan wawasan kelabunya



Oleh ZULKIFLI YAHAYA


SELEPAS diserang bertalutalu oleh PAS Kedah, Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang gagal menjawab sebahagian besar persoalan yang ditimbulkan tiba-tiba lantang membuat ugutan kepada pihak pembangkang di negeri ini.

Mukhriz memberi amaran akan membuka fail lama di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat negeri Kedah sebelum ini sekiranya beliau terus diserang dengan dakwaan dakwaan penyelewengan.

Skill kehebatan seorang pemimpin kerajaan selalu diukur dengan kemampuannya memberi penjelasan kepada rakyat berhubung sesuatu isu sensasi mahupun kontroversi.

Kadang-kadang perkara yang terang-terangan salah di pihak kerajaan pun berjaya ‘dineutralkan’ melalui retorik seorang pemimpin.

Lemah Mukhriz sebagai pemimpin kerajaan kerana tidak mampu memberi penjelasan yang meyakinkan rakyat terhadap segala dakwaan kepincangan yang berlaku di bawah pentadbirannya.
Lebih lemah kerana bingkas bangun mengugut pembangkang pula.

Jika betul pun pembangkang pernah memiliki senarai penyelewengan apakah ia dapat memansuhkan kelemahan dan dakwaan penyelewengan yang berlaku di zamannya? Baru tujuh bulan mentadbir negeri, macam-macam cerita muncul.

Ketua Pembangkang Dun Kedah, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah mengingatkan Mukhriz agar tidak mengugut sedemikian sebagai reaksi kepada pendedahan kepincangan pentadbirannya.

“Sekiranya benar wujud keraguan pada pentadbiran lalu, sila laporkan kepada pihak berwajib.

“Tidak mengapa sekadar hendak menjadi bahan lawak dalam ceramah, tetapi perkara dinyatakan Dato’ Seri Mukhriz adalah hal serius yang mesti dibuktikan. Sekiranya tidak bermakna beliau telah berbohong dan memfitnah,” itu reaksi Amiruddin yang kembali meletakkan Mukhriz di kandang tertuduh.

Amiruddin bertegas tidak akan berhenti dan akan terus membongkar serta mendedahkan begitu banyak kelemahan dan penyelewengan dalam tempoh singkat pentadbiran BN Kedah.

Selepas tujuh bulan, Mukhriz kelihatan sangat tertekan menghadapi pendedahan penyelewengan dan salah urus tadbir kerajaan. Apa tidaknya, sewaktu Kedah di tangan Pakatan dahulu beliaulah yang memimpin pembangkang membelasah kerajaan negeri dalam pelbagai isu.

Jika tindakan itu disifatkan pemerhati politik sebagai sebab tumbangnya Pakatan, maka sebab untuk tumbangnya BN pula sedang giat dijalankan iaitu – mendedahkan kelemahan dan kepincangan BN.
Jika di zaman Ustaz Azizan serangan pembangkang setakat berakhir dengan utusan memorandum di hadapan Wisma Darul Aman tetapi di zaman Mukhriz, serangan hingga ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Buat pertama kali juga dakwaan penyelewengan kerajaan BN dilaporkan kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Minority Shareholder Watchdog Group (MSWG). SC dan MSWG didesak membuat siasatan berkaitan penyelesaian mahkamah sebanyak RM2.5 juta ke atas saman terhadap BDB selain menyiasat CEO baharu BDB yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dalam beberapa buah syarikat yang diterajui sebelum ini.

Semasa Pakatan dahulu, BN mengambil masa dua tahun sebelum mula menyerang pentadbiran negeri tetapi kini belum sampai setahun kerajaan negeri sudah teruk diasak. Pemuda memainkan peranan yang cemerlang dalam mempastikan kerajaan pimpinan Mukhriz sentiasa dihisab.

Ketua Pemuda PAS Kedah, Mohd Nasir Zakaria menyifatkan tindakan Mukhriz melontarkan amaran itu telah menimbulkan kesangsian dan menzahirkan kelemahan Mukhriz dalam mendepani dakwaan berkaitan.

“Mukhriz tidak perlu bimbang sekiranya pentadbiran beliau bersih dari sebarang penyelewengan dan salah urus tadbir. Bukankah sifat berani itu benar dan takut itu salah?

“Bukan melontarkan amaran dan ugutan kerana sikap itu dilihat tidak matang dan kebudak-budakan,” bidas Nasir.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Mahfuz Omar lebih hebat bidasannya. “Mukhriz kata kena ambil masa sikit. Saya ingat bila orang muda jadi menteri besar, cepatlah sikit dia bertindak. Tapi dia kata perlukan masa pula. Ini membuktikan dia lemah!” bidas Mahfuz.

Di kalangan pegawai kerajaan negeri Mukhriz semakin terkenal dengan jolokan Mr Blur. Mereka masih keliru dengan wawasan anak bekas Perdana Menteri itu kerana tiada halatuju jelas dalam aspek penting pentadbiran negeri.

Jika Ustaz Azizan dahulu tampak fokusnya seperti menjadikan Kedah Belanda Timur, polisi sifar rasuah, Kedah sebagai jelapang makanan, dasar perbelanjaan berhemah, tumpuan pembangunan insan, pemerkasaan KUIN, reformasi tanah dan sebagainya tetapi kini semuanya kabur.

Jangankan rakyat biasa, pegawai kerajaan negeri pun tidak nampak bagaimana mahu melaksanakan wawasan Mukhriz.

Benar kata seorang pegawai, “Ustaz Azizan kalau bersyarah kami tahu nak buat apa selepas itu. Mukhriz bersyarah kami jadi makin blur…”

Tiada ulasan: