PETALING JAYA: Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang pada Khamis menyerahkan memorandum kepada Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Selangor yang ditandatangani pada Rabu.
Tan berkata, usaha Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam pelaksanaan MOU tersebut seharusnya dijadikan iktibar kepada Pakatan Rakyat dalam projek masa depan yang dapat membantu rakyat.
"Pakatan Rakyat harus menerima secara terbuka usaha tersebut tanpa mengenakan sebarang kelewatan. Datuk Seri Anwar sebagai Ketua Umum Pakatan Rakyat haruslah meneliti semula polisi Pakatan Rakyat dalam menerima projek-projek dan usaha-usaha daripada Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat.
"Kami berharap Mou semalam (Rabu) antara Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat di bawah Barisan Nasional (BN) akan menjadi satu titik mula yang baharu antara hubungan di negeri-negeri Pakatan Rakyat dan Kerajaan Pusat.
"Ia (Mou) merupakan satu iktibar yang baik buat Pakatan Rakyat pada masa depan, " katanya selepas menyerahkan memorandum berkenaan yang diterima oleh Setiausaha Politik Anwar, Mohd Shukri Md Saad sebagai wakil di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Khamis.
Kerajaan Persekutuan dan Selangor pada Rabu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menstrukturkan semula industri air di Selangor.
Langkah berkenaan juga dilihat sebagai membuka laluan kepada pelaksanaan Loji Air Langat 2 (Langat 2) yang tertangguh sejak 2010.
Tan turut berkata, Pakatan Rakyat seharusnya perlu melangkah ke hadapan dengan mengetepikan perbezaan politik.
"Apa yang dilakukan oleh Tan Sri Khalid apalah betul. Kita menyokong sepenuhnya terhadap penerimaan beliau dalam usaha yang dilakukan oleh Kerajaan BN di negeri-negeri di bawah pimpinan Pakatan Rakyat.
"Kerajaan Pusat tidak mengetepikan mana-mana pihak termasuk kerajaan Pakatan Rakyat selagi kerajaan negeri dapat menerima usaha-usaha dan inisiatif daripada Kerajaan BN, " katanya.
Menurut Tan, beliau berharap penerimaan dikalangan Pakatan Rakyat seharusnya konsisten dan tidak bergantung pada satu projek sahaja.
"Kerajaan negeri di Kelantan, Pulau Pinang juga Selangor perlu konsisten terima mana-mana yang baik untuk rakyat tanpa menyebabkan sebarang kelewatan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan